Baharom Bakar


Kuala Terengganu: "Tak sangka gurauan suami mahu ke laut lebih lama jadi kenyataan," luah Rahimas Yusof, 45, apabila suaminya Saludin Ismail, 48, ditemukan lemas dalam kejadian bot karam di perairan Pulang Redang, di sini, hari ini.

Menurutnya, arwah suami bercadang membuat lebih banyak bubu untuk dipasang di kawasan yang lebih jauh serta mengambil masa lebih tiga hari untuk pulang ke rumah.

"Dia ada bercakap begitu ketika berbual sambil minum petang, Khamis lalu. Saya terkejut dan tidak menyangka gurauan suami untuk ke laut lebih lama kerana mahu memasang bubu menjadi kenyataan selepas menerima panggilan dari Balai Polis Pulau Redang tengahari semalam.

"Saya terkilan kerana tidak sempat bersalam dengan arwah kerana pergi rumah ipar sebelum suami turun ke laut Ahad lalu.

"Saya ada hantar pesanan WhatsApp kepadanya Isnin lalu tetapi tiada balasan walaupun nampak dia membaca mesej yang dihantar. Biasanya arwah akan menghantar mesej bertanya khabar setiap kali berada di laut," katanya dari Kampung Cherang Ruku, Semarak, Pasir Putih, Kelantan.

Tambahnya, arwah suami bukannya seorang nelayan tetap, sebaliknya lebih banyak membantu rakannya mencari pendapatan menangkap ikan di laut.

"Dia yang juga seorang peniaga besi buruk sanggup mengeluarkan wang sendiri untuk membeli bot selain membeli peralatan untuk membuat bubu bagi membantu meringankan kos sara hidup rakannya," katanya.

Mayat Saludin ditemui secara berasingan bersama dua lagi rakannya, Mohd Nazri Abu Bakar, 48 dan Zulkifli Umar, 48, antara jam 11 pagi dan 1.30 petang tadi.

Selain Saludin, Mohd Nazri, Zulkifli, turut menjadi mangsa tragedi bot karam adalah, Ahmad Zamri Ishak, 60, Raja Zainuddin Raja Ibrahim, 49, dan Muhamad Kamaruddin Yusuf, 31.

Dua lagi rakan Saludin iaitu Ahmad Zamri dan Raja Zainuddin yang hilang selepas bot dinaikinya terbalik belum ditemui, manakala Muhammad Kamaruddin selamat dalam kejadian, kira-kira jam 1 pagi, semalam.

Ke semua mangsa dikatakan keluar untuk memancing ikan dan memasang bubu di perairan Pulau Redang kira-kira jam 9 malam, Ahad lalu.

Bot dinaiki mangsa dikatakan karam selepas dipukul ribut ketika berlabuh untuk menunaikan solat, kira-kira jam 10 malam, semalam.

RAHIMAS kelihatan sedih selepas suaminya, Saludin Ismail yang ditemukan lemas apabila bot nelayan mereka naiki karam di Perairan Pulau Redang pada malam isnin lalu. FOTO GHAZALI KORI
RAHIMAS kelihatan sedih selepas suaminya, Saludin Ismail yang ditemukan lemas apabila bot nelayan mereka naiki karam di Perairan Pulau Redang pada malam isnin lalu. FOTO GHAZALI KORI

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2022 @ 9:15 PM