EMPAT warga Indonesia ditahan jadi dalang seludup Rohingya ke Malaysia. FOTO AFP
EMPAT warga Indonesia ditahan jadi dalang seludup Rohingya ke Malaysia. FOTO AFP
AFP

Meulaboh, Indonesia: Empat warga Indonesia telah ditahan berhubung penyeludupan berpuluh-puluh pelarian Rohingya yang bot mereka karam di perairan pantai kepulauan itu bulan lalu, kata polis pada Selasa.

Pihak berkuasa menyelamatkan 69 pelarian Rohingya bulan lalu di luar pantai barat wilayah Aceh, berpaut pada badan bot yang terbalik selama lebih dari sehari.

Enam yang lain diselamatkan oleh nelayan sehari sebelumnya.

Mayat 16 pelarian Rohingya turut ditemukan selepas bot itu karam dengan kira-kira 150 orang dipercayai menaiki bot itu.

Polis di wilayah Aceh berkata tiga orang tengah yang didakwa adalah antara yang diselamatkan dalam kejadian itu namun, ditahan tidak lama kemudian.

Yang keempat ditahan selepas suspek lain disoal siasat.

Lelaki itu didakwa telah pergi ke laut untuk mengambil pelarian itu, menaiki bot lain dari Bangladesh, dengan tujuan mengangkut mereka ke Malaysia.

"Selepas dijemput dari pulau Sabang, pelarian Rohingya itu akan diangkut ke wilayah Sumatera Utara dengan trak sebelum menyeberang ke Malaysia," kata ketua polis Aceh Barat Andi Kirana pada sidang akhbar.

Salah seorang suspek, yang dikenali sebagai HS, berkata bahawa dia menerima lima juta rupiah bagi setiap pelarian daripada ejen di Malaysia, kata Kirana.

Tiga yang lain dituduh memandu bot ke laut untuk mengambil pelarian.

Pihak berkuasa masih mencari empat lagi suspek, yang didakwa "dalang" di sebalik penyeludupan pelarian Rohingya ke Aceh, tambah Kirana.

Ramai Rohingya menempuh perjalanan berbahaya sejauh 4,000 kilometer dari Bangladesh ke Malaysia, menyemarakkan operasi penyeludupan manusia berjuta-juta dolar yang sering membabitkan persinggahan di Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2024 @ 5:32 PM