Mohamed Farid Noh dan Togi Marzuki

Pontian: Enam pendatang asing tanpa izin (Pati) ditemukan lemas, seorang kritikal dan enam lagi terselamat dalam kejadian bot karam di perairan Pulau Pisang di sini, pada 12 tengah malam tadi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, dalam kejadian itu ombak yang dipercayai setinggi tiga meter membadai bot fiber sepanjang 7.62 meter yang dinaiki seramai 11 Pati wanita dan dua tekong yang kesemuanya adalah warga Indonesia.

Menurutnya, ia menyebabkan bot itu terbalik dan karam kira-kira 4.2 batu nautika dari Pantai Pontian Besar.

"Kejadian bot karam terbaru yang berlaku di Perairan Pontian dan Pulau Pisang itu menyebabkan Pati termasuk dua tekong lelaki yang berusia antara 25 hingga 35 tahun itu berjaya diselamatkan, manakala enam lagi ditemui lemas.

"Seorang daripada mangsa yang selamat kini berada dalam keadaan kritikal dan dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, bagi rawatan lanjut.

"Insiden ini diketahui apabila nelayan tempatan menemui dua tekong dan empat Pati wanita terapung pada 10 pagi di perairan Pontian sebelum menghubungi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan APMM.

Anggota APMM membawa mangsa yang ditemukan selamat dalam kejadian bot karam di perairan Pontian Besar, Pontian hari ini. Foto Nur Aisyah Mazalan
Anggota APMM membawa mangsa yang ditemukan selamat dalam kejadian bot karam di perairan Pontian Besar, Pontian hari ini. Foto Nur Aisyah Mazalan

"Susulan itu, Operasi Mencari dan Menyelamat (Op Carilamat) dimulakan dan membawa kepada penemuan seorang lagi wanita warga Indonesia yang selamat pada 1 tengah hari bersama dua mayat rakannya sebelum empat lagi mangsa terakhir yang lemas ditemukan pada 2 petang tadi," katanya dalam sidang media di Jeti Nelayan Pontian Besar, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Pontian Superintendan Mohammad Shofee Tayib.

Sementara itu, Nurul Hizam berkata, menerusi siasatan awal yang dilakukan terhadap dua tekong warga Indonesia yang terselamat didapati bot dinaiki mereka bersama 11 wanita warga Indonesia yang juga Pati itu bertolak dari Pulau Jaloh, Batam kira-kira 9.30 malam tadi.

"Mereka menaiki bot fiber berkelajuan enjin 200 kuasa kuda dan mengambil masa dua jam setengah dari Pulau Jaloh, Batam, sebelum tiba di perairan Pontian pada tengah malam tadi.

"Kesemua tujuh mangsa yang selamat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut manakala enam mayat pula sudah diserahkan kepada Hospital Pontian bagi dibedah siasat," katanya.

Muhammad Shofee pula berkata, dua tekong warga Indonesia itu akan ditahan reman esok bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom).

Katanya, siasatan awal mendapati dua tekong Indonesia yang menyeludup masuk 11 PATI wanita berkenaan mahu menurunkan kesemua mangsa di kawasan Api-Api, kira-kira empat batu nautika dari lokasi ia karam.

"Polis akan menyiasat secara terperinci mengenai dalang sindiket penyeludupan manusia ini termasuk bayaran yang dikenakan ke atas mangsa bagi memasuki Malaysia menerusi perairan Pontian," katanya.

Berita berkaitan

7 Pati hilang, bot pancung karam [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 5:47 PM