TENTERA Maghribi berdiri berhampiran pesawat membawa bantuan kepada penduduk Gaza selepas ia tiba di Lapangan Terbang Ben Gurion. FOTO AFP
TENTERA Maghribi berdiri berhampiran pesawat membawa bantuan kepada penduduk Gaza selepas ia tiba di Lapangan Terbang Ben Gurion. FOTO AFP
AFP

Rabat: Maghribi sudah menghantar 40 tan bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui lapangan terbang Israel, kata sumber diplomatik pada Selasa.

Ia usaha terbaru untuk mempelbagaikan laluan bantuan ke wilayah Gaza yang dilanda perang.

Bantuan makanan itu sudah tiba di Lapangan Terbang Ben Gurion berhampiran Tel Aviv sebelum dipindahkan kepada Bulan Sabit Merah Palestin di lintasan Kerem Shalom di sempadan antara Israel dan Gaza, sumber diplomatik Maghribi kepada AFP dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan.

Kementerian Luar Maghribi dalam satu kenyataan berkata, ia negara pertama mengangkut bantuan kemanusiaannya melalui laluan darat dengan cara sedemikian yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Sejak perang bermula pada 7 Oktober, trak bantuan secara amnya memasuki Gaza melalui Mesir.

Pegawai Israel tidak dapat mengesahkan dengan segera sama ada inisiatif Maghribi itu adalah laluan darat pertama seumpama itu untuk bantuan asing melalui wilayah Israel.

Kebanyakan bantuan masuk melalui Rafah iaitu selatan wilayah yang dikuasai Hamas bersempadan dengan Mesir.

Tetapi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan agensi bantuan lain mengatakan ia hanya sebahagian kecil berbanding bekalan yang diperlukan untuk menampung penduduk Gaza berjumlah 2.4 juta.

Sumber diplomatik berkata, hubungan Maghribi dengan Israel, yang diformalkan dalam pakatan normalisasi yang diperantara Amerika Syarikat (AS) pada 2020, membantu operasi penghantaran bantuan kemanusiaan itu.

"Maghribi sentiasa berkata bahawa hubungannya dengan Israel bertujuan memberi keamanan di rantau ini dan kepentingan rakyat Palestin," kata sumber itu.

PBB berulang kali memberi amaran mengenai situasi kebuluran memburuk di Gaza di bawah kepungan Israel yang kini memasuki bulan keenam sejak perang bermula 7 Oktober tahun lalu.

Sebuah kapal amal Sepanyol yang membawa 200 tan bantuan makanan ke Gaza belayar dari Cyprus, semalam, dengan harapan membuka koridor maritim untuk mengurangkan krisis kemanusiaan yang teruk.

Semalam juga, empat kapal tentera Amerika Syarikat (AS) meninggalkan AS dengan membawa peralatan untuk membina pelabuhan sementara di pantai Gaza. Pelabuhan itu kemudahan untuk penghantaran bantuan.

Pengeboman dari udara dan serangan darat oleh Israel telah membunuh 31,184 orang di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2024 @ 2:27 PM