PENDUDUK Palestin yang kehilangan tempat tinggal mencari perlindungan di Rafah, selatan Semenanjung Gaza sempadan dengan Mesir. FOTO Reuters
PENDUDUK Palestin yang kehilangan tempat tinggal mencari perlindungan di Rafah, selatan Semenanjung Gaza sempadan dengan Mesir. FOTO Reuters
Agensi

Baitulmaqdis: Israel cuba mencapai persetujuan dengan Mesir untuk menguasai koridor Philadelphi, sempadan Semenanjung Gaza, Palestin dan Mesir.

Menurut sumber, Israel merancang untuk mendapatkan lebih banyak kawalan ke atas koridor berkenaan.

Sebidang tanah sepanjang 14 kilometer (km) dan 100 meter lebar itu secara rasmi berada di bawah kawalan bersama Pihak Berkuasa Mesir-Palestin sejak pengunduran Israel dari Semenanjung Gaza pada 2005.

Namun, ia diambil alih Hamas selepas ia merampas kuasa di Gaza pada tahun 2007.

Hamas bersama kumpulan Palestin lain, menggali terowong di bawah koridor itu untuk menyeludup bekalan antara Mesir dan Gaza.

Sejak bermulanya perang 7 Oktober lalu, pegawai Israel berulang kali menyebut keazaman mereka untuk mengambil semula kawalan ke atas koridor itu.

"Koridor Philadelphi atau lebih tepat lagi, titik perhentian selatan Gaza (Rafah) mesti berada di tangan kita," kata Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dalam sidang akhbar pada Disember lalu.

Sumber keselamatan yang dipetik radio Israel mendakwa, mereka dapat meyakinkan negara Teluk Arab yang tidak dinamakan untuk membiayai pembinaan tembok bawah tanah yang akan menutup terowong itu, namun langkah itu tetap tertakluk kepada kelulusan Mesir.

Menurut pegawai keselamatan yang memberitahu saluran radio tentera Israel, rundingan terbaharu itu juga akan memastikan lebih sejuta penduduk Palestin yang berpindah di Rafah tidak cuba mencari perlindungan di Mesir.

Ia senario yang amat ditakuti Kaherah sedangkan Israel semakin meluaskan operasi ketenteraannya ke wilayah selatan Palestin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2024 @ 3:35 PM