KENDERAAN rosak susulan serangan Israel di kem pelarian Jabalia. FOTO Reuters
KENDERAAN rosak susulan serangan Israel di kem pelarian Jabalia. FOTO Reuters
AFP

Riyadh: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken tiba di Arab Saudi, pada Isnin, untuk satu lagi jelajah krisis Timur Tengah, dengan harapan untuk gencatan senjata baharu dalam perang Israel-Hamas.

Blinken mendarat di sini dan kemudiannya dijangka melawat Israel, Mesir dan Qatar, dalam lawatan kelimanya ke rantau ini sejak serangan Hamas pada 7 Oktober lalu

Sepanjang siri jelajah itu, beliau menekankan keperluan kemanusiaan dengan segera di Gaza selepas kumpulan bantuan berulang kali memberi amaran mengenai kesan buruk perang hampir empat bulan ke atas wilayah dikepung itu.

"Keadaan itu tidak dapat digambarkan," kata Said Hamouda, warga Palestin yang melarikan diri dari rumahnya di ke bandar selatan Rafah, berhampiran sempadan Mesir.

Sementara itu, Rafah kini menjadi penempatan kepada lebih separuh daripada penduduk Gaza, yang kehilangan tempat tinggal akibat serangan Israel.

Hujung minggu lalu, tentera Israel bergerak lebih jauh ke selatan ke arah bandar sempadan yang padat itu, memberi amaran bahawa pasukannya boleh mara ke Rafah.

Sumber memberitahu AFP bahawa mereka mendengar tembakan artileri di kawasan timur Rafah dan Khan Younis, di mana Israel percaya pegawai tinggi Hamas sedang bersembunyi.

Menurut kementerian kesihatan di wilayah yang dikuasai Hamas, sekurang-kurangnya 128 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, terbunuh dalam serangan Israel semalaman dari malam kelmarin hingga semalam.

Pejabat media kerajaan Hamas berkata, pengeboman Israel berterusan merentasi tengah dan selatan Gaza, termasuk berhampiran hospital.

Israel berkata, tentera yang beroperasi di utara dan tengah Semenanjung Gaza membunuh puluhan pejuang dan terbabit dengan pejuang Hamas di kawasan Khan Younis.

Sayap bersenjata Hamas berkata, pejuangnya menyerang tentera Israel di barat daya Bandar Gaza.

Blinken dijangka membincangkan cadangan gencatan senjata yang belum dipersetujui selepas dibentangkan dalam mesyuarat di Paris pada Januari lalu. Mesyuarat itu dihadiri pegawai tertinggi AS, Israel, Mesir dan Qatar.

Menurut sumber Hamas, gencatan senjata yang dicadangkan akan menghentikan pertempuran selama enam minggu, bagi pembebasan tebusan sebagai pertukaran untuk tahanan Palestin yang ditahan oleh Israel.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2024 @ 11:19 AM