Penduduk Palestin berjalan menyelamatkan diri selepas kediaman di Rafah diserang Israel. FOTO AFP
Penduduk Palestin berjalan menyelamatkan diri selepas kediaman di Rafah diserang Israel. FOTO AFP
Bernama-Anadolu

Bandaraya Gaza: Angka kematian rakyat Palestin akibat kekurangan zat makanan dan dehidrasi di Semenanjung Gaza susulan serangan berterusan Israel sejak 7 Oktober lalu meningkat kepada 25 orang.

Kementerian Kesihatan di Gaza berkata dua lagi kematian dilaporkan, termasuk seorang bayi, lapor Agensi Anadolu.

"Seorang bayi perempuan berusia dua bulan meninggal dunia di Hospital Kamal Adwan di utara Gaza dan seorang lagi berusia 20 tahun meninggal dunia di Kompleks Perubatan Al-Shifa kerana kekurangan zat makanan dan dehidrasi," menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.

Kementerian itu berkata angka kematian yang diumumkan hanya membabitkan mangsa yang dimasukkan ke hospital.

"Peningkatan bilangan penduduk yang kekurangan zat makanan dan dehidrasi amat membimbangkan dan mengesahkan bahawa kebuluran di utara Gaza telah mencapai tahap maut," katanya.

Serangan berterusan Israel setakat ini mengorbankan sekurang-kurangnya 30,960 orang dan 73,000 lagi cedera selain menyebabkan kemusnahan besar-besaran dan kekurangan barang keperluan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2024 @ 12:15 PM