SEORANG bayi Palestin terbaring di atas katil di Hospital Abu Youssel al-Najjar ketika rakyat Gaza berdepan krisis kebuluran dan kekurangan zat makanan. FOTO Reuters. Hospital, while Gaza residents face crisis level
SEORANG bayi Palestin terbaring di atas katil di Hospital Abu Youssel al-Najjar ketika rakyat Gaza berdepan krisis kebuluran dan kekurangan zat makanan. FOTO Reuters. Hospital, while Gaza residents face crisis level
Agensi

Gaza: Enam kanak-kanak meninggal dunia akibat dehidrasi dan kekurangan zat makanan di hospital di utara Gaza ketika krisis kemanusiaan di sana semakin memuncak, kata Kementerian Kesihatan di wilayah Palestin yang terkepung.

AlJazeera melaporkan, dua kanak-kanak meninggal dunia di Hospital al-Shifa di Bandar Gaza, kata kementerian itu pada hari Rabu.

Sebelum ini dilaporkan empat kanak-kanak meninggal dunia di Hospital Kamal Adwan di utara Gaza, manakala tujuh lagi masih dalam keadaan kritikal.

"Kami meminta agensi antarabangsa untuk segera campur tangan bagi mengelakkan malapetaka kemanusiaan di utara Gaza," kata jurucakap Kementerian Kesihatan Ashraf al-Qudra dalam satu kenyataan, ketika serangan Israel ke atas Gaza berterusan.

Pengarah Hospital Kamal Adwan, Ahmed al-Kahlout berkata, hospital itu tidak beroperasi kerana kekurangan bahan api.

Pada Selasa, Hospital Al-Awda di Jabalia juga tidak beroperasi atas sebab yang sama.

Dalam video yang disiarkan di Instagram dan disahkan oleh unit pengesahan Sanad Al Jazeera, wartawan Ebrahem Musalam menunjukkan seorang bayi di atas katil di jabatan pediatrik Hospital Kamal Adwan, dalam keadaan bekalan elektrik kerap terputus.

Musalam berkata, kanak-kanak di jabatan itu mengalami kekurangan zat makanan dan susu formula bayi, serta peranti yang diperlukan sudah berhenti berfungsi kerana bekalan elektrik sentiasa terputus akibat kekurangan bahan api.

Kumpulan Palestin Hamas pada hari Rabu berkata penutupan Hospital Kamal Adwan akan memburukkan lagi krisis kesihatan dan kemanusiaan di Gaza Utara, yang sudah di ambang kebuluran memandangkan Israel terus menyekat atau mengganggu misi bantuan kemanusiaan di sana.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Februari 2024 @ 9:14 AM