Ahmed Qannan yang kekurangan zat makanan. - FOTO Reuters
Ahmed Qannan yang kekurangan zat makanan. - FOTO Reuters
Reuters

Rafah: Dua kanak-kanak Palestin dengan mata cengkung, baring bersebelahan di atas katil di klinik Gaza, dalam keadaan kurus dan tulang kaki yang menonjol dari lampin yang kelihatan terlalu besar untuk mereka.

Ini adalah keadaan di pusat kesihatan Al-Awda di Rafah, selatan Gaza, di mana jururawat Diaa Al-Shaer berkata kanak-kanak yang mengalami kekurangan zat makanan dengan gejala pelbagai penyakit datang dalam jumlah yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Kami akan menghadapi sebilangan besar pesakit yang mengalami kekurangan zat makanan," katanya.

Ahmed Qannan, mempunyai berat 6 kilogram, separuh daripada berat badan sebelum perang, menurut ibu saudaranya, Israa Kalakh, yang berada di sisinya.

"Keadaannya bertambah buruk setiap hari. Tuhan melindungi kita daripada apa yang akan datang," katanya kepada Reuters.

Hampir lima bulan selepas serangan udara dan darat Israel ke atas Semenanjung Gaza dan mengakibatkan perpindahan besar-besaran, kekurangan makanan yang teruk telah membawa kepada apa yang disifatkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai krisis pemakanan, sebahagian daripada malapetaka kemanusiaan yang lebih luas.

Kementerian Kesihatan Gaza berkata, 15 kanak-kanak telah meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan atau dehidrasi di hospital Kamal Adwan di Beit Lahiya, utara Gaza, bahagian enklaf di mana kekurangan makanan yang melampau.

"Angka tidak rasmi malangnya dijangka lebih tinggi," kata jurucakap Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Christian Lindmeier.

Dr Ahmad Salem, yang bekerja di unit rawatan rapi hospital itu berkata, salah satu faktor kematian kanak-kanak yang tinggi di sana ialah ibu yang baru lahir mengalami kekurangan zat makanan.

"Ibu-ibu tidak boleh menyusukan anak mereka. Kami tidak mempunyai susu formula. Ini menyebabkan kematian kanak-kanak di unit rawatan rapi di sini. Di taska juga, terdapat banyak kematian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2024 @ 5:26 PM