BAYI lelaki diberikan susu di Hospital Abu Yousef al-Najjar, Gaza. FOTO Reuters
BAYI lelaki diberikan susu di Hospital Abu Yousef al-Najjar, Gaza. FOTO Reuters
AFP

Gaza: Kanak-kanak mula mati kelaparan di Gaza, di mana Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi bayangan bahawa kebuluran "hampir tidak dapat dielakkan."

Sekurang-kurangnya 15 kanak-kanak meninggal dunia akibat kebuluran dan dehidrasi di sebuah hospital, menurut kementerian kesihatan di wilayah kendalian Hamas.

Media termasuk AFP merakam imej bayi yang kurus kering dengan mata cengkung dan muka kurus.

Pada hujung minggu, pekerja Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dapat melawat hospital di utara Gaza buat kali pertama sejak Oktober, kata ketuanya Tedros Adhanom Ghebreyesus pada Isnin pada X.

Beliau berkata, pekerja mendapati "paras kekurangan zat makanan yang teruk, kanak-kanak mati kelaparan, kekurangan bahan api yang serius, bekalan makanan dan perubatan, bangunan hospital musnah."

Di seluruh Gaza, 90 peratus kanak-kanak berumur antara enam dan 23 bulan, serta wanita hamil dan menyusukan bayi menghadapi kemiskinan makanan yang teruk, menurut laporan yang dikeluarkan dua minggu lalu oleh Kluster Pemakanan Global, rangkaian pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pemakanan yang diketuai oleh Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unicef).

Sekurang-kurangnya 90 peratus kanak-kanak bawah lima tahun terjejas oleh satu atau lebih penyakit berjangkit, tambahnya.

Organisasi bantuan yang bekerja di lapangan menyalahkan Israel, yang melancarkan perang terhadap Hamas susulan serangan 7 Oktober, kerana menghalang trak makanan yang mencukupi daripada memasuki Gaza.

Agensi makanan PBB pada Selasa berkata, konvoi bantuannya tidak diberi masuk oleh tentera Israel di pusat pemeriksaan di utara Gaza.

Minggu lalu, tentera Israel melepaskan tembakan ke arah rakyat Palestin yang berebut-rebut mendapatkan bantuan makanan dalam keadaan huru-hara yang mengorbankan lebih 100 orang.

Pesawat tentera Amerika Syarikat mula menurunkan puluhan ribu makanan, walaupun agensi bantuan mengatakan ini adalah cara yang tidak cekap untuk membendung krisis.

Imad Dardonah, pakar pediatrik di Hospital Kamal Adwan, satu-satunya hospital pediatrik di utara Gaza, memberitahu AFP, kakitangan mempunyai bekalan untuk hanya merawat kira-kira separuh daripada kes.

"Kami tidak mempunyai apa-apa untuk diberikan kepada mereka, yang paling boleh kami lakukan untuk mereka adalah sama ada memberi mereka larutan garam atau larutan gula.

"Jika kekurangan zat makanan berpanjangan ia akan membawa kepada akibat jangka panjang seperti pertumbuhan terbantut, keupayaan untuk belajar berkurangan, dan sistem imun yang lemah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2024 @ 2:56 PM