ANGGOTA keselamatan dikerah mengawal bandar Dhaka  menjelang pilihan raya yang akan berlangsung esok. FOTO AFP.
ANGGOTA keselamatan dikerah mengawal bandar Dhaka menjelang pilihan raya yang akan berlangsung esok. FOTO AFP.
Reuters

Dhaka: Sekurang-kurangnya lima sekolah rendah termasuk empat dijadikan pusat mengundi dibakar, kata polis Bangladesh hari ini, menjelang pilihan raya umum yang diboikot parti pembangkang utama.

Polis sedang menyiasat kebakaran di Gazipur, pinggir ibu kota Dhaka itu, namun mengesyaki suspek melakukan demikian untuk mengganggu pilihan raya, esok dan mungkin membakar sekolah berkenaan pada tengah malam.

"Kami memperhebatkan rondaan dan terus berjaga-jaga bagi mengekang sebarang kejadian tidak diingini," kata Ketua Polis Gazipur, Kazi Shafiqul Alam.

Polis berkata, suspek membakar pusat mengundi di daerah timur laut Moulavibazar dan Habiganj, malah kejadian serupa dilaporkan di seluruh negara sejak dua hari lalu.

Di daerah Khulna, polis menahan dua orang pada malam Khamis selepas penduduk tempatan mengesan mereka cuba membakar sebuah sekolah.

Ketua Polis Khulna, Saidur Rahman berkata, satu lagi cubaan untuk membakar bangunan sekolah rendah di kawasan yang sama berjaya dihalang oleh penduduk tempatan pada Jumaat.

Kira-kira 800,000 anggota polis, tentera dan polis bantuan akan mengawal pusat mengundi pada Ahad.

Pasukan tentera termasuk laut dan udara juga ditempatkan di seluruh negara untuk memastikan situasi aman.

Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) yang memboikot buat kali kedua dalam tiga pilihan raya negeri berkata, Liga Awami pimpinan Perdana Menteri Sheikh Hasina cuba 'menghalalkan' undi palsu yang akan memberikan partinya kemenangan penggal keempat berturut-turut.

Hasina yang menolak tuntutan BNP untuk meletak jawatan dan menyerahkan kuasa kepada badan berkecuali untuk menjalankan pilihan raya, menuduh parti pembangkang itu mencetuskan protes antikerajaan yang menggegarkan Dhaka sejak akhir Oktober lalu dan mengorbankan sekurang-kurangnya 10 orang.

BNP telah meminta rakyat mengelak pengundian dan menggesa mogok dua hari di negara itu mulai hari ini.

ANGGOTA bomba bertungkus lumus memadam kebakaran kereta api penumpang di Dhaka ketika mogok yang berlangsung susulan pilihan raya. FOTO Reuters.
ANGGOTA bomba bertungkus lumus memadam kebakaran kereta api penumpang di Dhaka ketika mogok yang berlangsung susulan pilihan raya. FOTO Reuters.

Jalan raya di Dhaka yang biasanya sesak pada hari biasa, didapati lengang pada Sabtu dengan dengan pasukan keselamatan berkawal di pusat bandar dengan kenderaan berperisai.

Dalam kejadian berasingan semalam, sekurang-kurangnya empat orang, termasuk kanak-kanak maut dalam kebakaran disyaki jenayah khianat ke atas kereta api penumpang.

Lapan orang lagi cedera apabila kebakaran itu merebak ke empat gerabak Benapole Ekspress ke Dhaka kira 9 malam Jumaat (waktu tempatan).

Bulan lalu, penunjuk perasaan membakar kereta api, membunuh empat orang ketika mogok di seluruh negara yang dilancar pembangkang.

Pegawai kanan BNP, Ruhul Kabir Rizvi berkata, "insiden kereta api Benapole Express tidak syak lagi satu tindakan sabotaj dan kekejaman terhadap kemanusiaan" dan beliau menyalahkan parti pemerintah atas berlakunya tragedi itu.

Parti Liga Awami pula menuduh BNP cuba mengganggu pilihan raya dengan mewujudkan 'pemerintahan ganas terhadap orang yang tidak bersalah.'

Kebakaran kereta api di kawasan Wari itu berjaya dikawal dengan tujuh jentera bomba selepas kira-kira sejam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 January 2024 @ 3:41 PM