MALI. FOTO X/ @rreyyyy14
MALI. FOTO X/ @rreyyyy14
Agensi

Manila: Gajah paling sepi di dunia, mati, Selasa lalu selepas 40 tahun hidup bersendirian dalam Zoo Manila, Filipina.

Aktivis hak asasi haiwan menyifatkan gajah diberi nama Mali itu, sebagai salah satu gajah paling menyedihkan di dunia.

Datuk Bandar Manila, Honey Lacuna dalam mesej video di Facebook mengesahkan, Vishwa Ma'ali iaitu nama sebenar gajah itu mati pada 3.45 petang, Selasa lalu.

Katanya, pihak zoo masih belum dapat memastikan punca kematiannya.

Tiada rekod umur sebenar gajah itu, namun ia dipercayai berusia 48 hingga 49 tahun.

Sejak sekian lama, Mali menjadi bintang popular dan menjadi daya tarikan di Zoo Manila.

Hampir semua warga Filipina yang pernah melawat zoo itu semasa mereka di sekolah rendah berkemungkinan besar pernah melihatnya.

Mali dihadiahkan Sri Lanka pada 1977 kepada Wanita Pertama Filipina. Imelda Marcos.

Ditemukan tanpa keluarganya di hutan, haiwan itu berusia kira-kira tiga tahun ketika ia dihantar ke Manila.

Mali dimasukkan ke dalam kandang bersama seekor gajah betina yang lebih tua, Shiba yang diselamatkan dari sebuah sarkas.

Shiba bersifat agresif dan membuli Mali yang lebih muda dan kecil sebelum gajah tua itu mati enam tahun kemudian.

Sejak itu, Mali menjadi satu-satunya gajah di zoo Manila.

Zoo itu, yang sentiasa bergelut dengan pembiayaan, tidak mampu untuk membeli seekor gajah baharu.

Pembelian seekor gajah sahaja mencapai jutaan peso dan jika ada dua gajah, ia akan menelan belanja lebih besar.

Pada 2012, kumpulan hak asasi haiwan People for the Ethical Treatment of Animals (Peta) melancarkan kempen supaya Mali berpindah ke tempat perlindungan gajah di Thailand dengan menggelarnya salah satu gajah paling menyedihkan di dunia.

Kumpulan itu mendakwa, gajah itu dikurung bersendirian selama lebih 40 tahun di kandang konkrit.

Mereka juga berkata, Mali dinafikan penjagaan veterinar yang betul selepas pakar mendapati, Mali mengalami penyakit pada kuku dan tapak kaki yang boleh membawa maut.

Bagaimanapun, kerajaan bandar itu mempertikaikan penemuan kumpulan itu.

Pegawai zoo berkata, Mali sebelum ini diberi makan dengan 150 kilogram makanan terdiri daripada rumput, sayuran dan buahan setiap hari. Selain itu, haiwan itu dipantau 24 jam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2023 @ 2:53 PM