SEKUMPULAN kanak-kanak bermain di jalan raya yang dinaiki air akibat ribut di Manila semalam. - AFP
SEKUMPULAN kanak-kanak bermain di jalan raya yang dinaiki air akibat ribut di Manila semalam. - AFP
AFP

Manila: Tiga maut dan enam hilang selepas ribut besar yang membawa hujan lebat mencetuskan banjir serta tanah runtuh di kawasan sekitar Manila semalam, menyebabkan sekolah, pejabat kerajaan dan premis perniagaan ditutup.

Kebanyakan mangsa yang mati dan hilang itu adalah penduduk miskin yang tinggal di zon bahaya walaupun kerajaan mengeluarkan arahan berpindah.

Hujan lebat mencetuskan tanah runtuh di timur Manila yang menyebabkan dua beradik mati ditimbus.

“Pihak berkuasa beberapa kali memberi amaran bahawa kediaman mereka berisiko dilanda tanah runtuh tetapi mereka tetap enggan berpindah,” kata pegawai pertahanan awam, Ronnie Mateo.

Seorang gadis berusia 12 tahun pula lemas selepas air sungai melimpahi tebing di pinggir Manila.

Jabatan kaji cuaca berkata, ribut yang dinamakan Maring itu melanda timur bandar Muaban sebelum bergerak melintasi pulau Luzon dan melintasi tepi Manila.

Di Calamba City, selatan Manila, enam sekeluarga termasuk kanak-kanak berusia dua tahun hilang selepas pondok mereka di tebing sungai dihanyutkan banjir.

Maring dengan kekuatan angin 100 kilometer sejam bergerak pada kelajuan 15 kilometer sejam yang menyebabkan banjir menjadi lebih buruk.

“Kerana ribut ini bergerak perlahan, ia membawa lebih banyak hujan,” kata seorang pegawai kaji cuaca, Renito Paciente.

Jurucakap Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan, Mark Timbal memberitahu, pihak berkuasa mengeluarkan arahan berpindah kepada penduduk di kawasan rendah dan berisiko dilanda tanah runtuh.

Bagaimanapun, dia tidak dapat memberitahu jumlah keseluruhan penduduk yang berpindah akibat bencana itu.

Pulau di Filipina sering dilanda taufan besar dijana daripada perubahan tekanan udara di Kepulauan Pasifik yang sering menyebabkan kemusnahan besar dan kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2017 @ 4:45 AM