SEORANG anggota bomba berdiri di tingkap pertama kilang  Hashem Food and Beverage yang terbakar di Rupganj. FOTO AFP
SEORANG anggota bomba berdiri di tingkap pertama kilang Hashem Food and Beverage yang terbakar di Rupganj. FOTO AFP
AFP

Dhaka: Polis Bangladesh menahan pemilik kilang atas tuduhan bunuh selepas 52 pekerja terperangkap dalam kebakaran, termasuk kanak-kanak berusia 11 tahun.

Polis berkata, pemilik kilang makanan itu dan empat anak lelakinya antara lapan yang ditahan selepas kebakaran berlaku Khamis lalu.

Inkuiri berasingan dilancarkan untuk dakwaan penggunaan buruh kanak-kanak di kilang terbabit.

Ketua Polis Narayanganj, Jayedul Alam berkata, pintu masuk kilang itu dikunci dan diletakkan mangga ketika kebakaran itu berlaku selain kilang berkenaan didapati melanggar beberapa langkah keselamatan yang ditetapkan pihak berkuasa.

"Ia adalah pembunuhan yang disengajakan," katanya kepada AFP.

Pasukan menyelamat menjumpai 48 mayat di tingkat tiga kilang Hashem Food and Beverage di Rupganj, kawasan industri di luar Dhaka.

Jurucakap bomba berkata, pintu keluar menuju ke tangga utama dimangga.

Menteri buruh, Monnujan Sufian berkata, kertas siasatan berkaitan penggunaan buruh kanak-kanak sudah dibuka.

Katanya, dia bertemu dengan dua mangsa yang selamat berusia 14 tahun.

Seorang wanita memaklumkan anak saudaranya berusia 11 tahun bekerja di kilang itu dan masih hilang, dikhuatiri sudah meninggal dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Julai 2021 @ 6:23 PM