THAKSIN Shinawatra. FOTO fail AFP
THAKSIN Shinawatra. FOTO fail AFP
Reuters

Bangkok: Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra boleh dibebaskan dengan parol seawal akhir Februari selepas hukuman penjara lapan tahun terhadapnya dikurangkan menjadi setahun, kata seorang jurucakap kanan pada Isnin.

Terdahulu, ahli politik Thailand berpengaruh itu kembali ke tanah air pada bulan lalu, 15 tahun selepas hidup dalam buangan susulan rampasan kuasa tentera pada 2006.

Ketika berada di luar negara, Thaksin didapati bersalah secara tanpa kehadiran dalam tiga kes membabitkan salah guna kuasa, konflik kepentingan dan penyelewengan.

Kepulangannya ke Thailand bertepatan dengan kemunculan sekutunya Srettha Thavisin sebagai Perdana Menteri baharu negara itu.

Ia susulan ketidaktentuan selama berbulan-bulan selepas pilihan raya pada Mei lalu yang mengakibatkan kekalahan bagi parti pemerintah protentera.

Parti yang sealiran dengan Thaksin memenangi setiap pilihan raya sejak 2001 sehingga pemilihan tahun ini apabila Pheu Thai, parti yang disokong oleh keluarganya, menduduki tempat kedua.

Jutawan telekomunikasi itu disenangi rakyat miskin Thailand.

Ada spekulasi bahawa Thaksin mencapai beberapa perjanjian dengan seteru lamanya, selepas parti protentera memberi sokongan kepada calon Pheu Thai Srettha untuk membentuk kerajaan baharu.

Bagaimanapun, Thaksin dan Srettha menafikan dakwaan itu.

Pada malam pertamanya di Thailand, Thaksin dipindahkan dari penjara ke hospital akibat sakit dada dan tekanan darah tinggi.

Beberapa hari kemudian, Raja Maha Vajiralongkorn memperkenankan untuk meringankan hukuman lapan tahun terhadap bekas pemimpin itu kepada satu tahun sekali gus membuka peluang kepada Thaksin dibebaskan lebih awal.

"Selepas menjalani hukuman penjara enam bulan, Thaksin layak mendapat parol bagi banduan yang berumur lebih 70 tahun atau mereka yang sakit.

"Jabatan pembetulan membuat penilaian bagi setiap kes dan tiada proses petisyen untuk parol dalam kes ini," kata Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kemasyaraktan Sitthi Sutivong kepada Reuters.

Tambah Sitthi, rawatan Thaksin di hospital adalah mengikut budi bicara profesional perubatan dan ia tidak mempunyai had masa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2023 @ 10:53 AM