Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra. - FOTO AFP
Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra. - FOTO AFP
Reuters

Bangkok: Bekas Perdana MenteriThailand, Thaksin Shinawatra memaklumkan bahawa beliau menangguhkan hasratnya untuk pulang ke Thailand, di saat negara itu berdepan kebuntuan politik selepas Pilihan Raya Umum (PRU) pada Mei lalu dimenangi pihak lawan parti sokongan tentera.

Bekas taikun telekomunikasi itu dalam satu hantaran melalui aplikasi X (nama baharu Twitter) berkata, beliau perlu menjalani pemeriksaan perubatan dan akan menunda kepulangan selama beberapa minggu, yang asalnya dijadualkan pada 10 Ogos ini.

Beliau yang menjadi Perdana Menteri pada 2001 sebelum digulingkan tentera pada 2006, masih mempunyai pengaruh dalam arena politik Thailand walaupun memilih untuk 'hidup dalam buangan' sejak 2008 bagi mengelak pertuduhan rasuah yang didakwanya sebagai bermotifkan politik selepas kerajaan pimpinannya dijatuhkan.

Keputusan PRU kali ini menyaksikan Parti Pheu Thai yang disokong Thaksin, berada di kedudukan kedua selepas Parti Move Forward.

Kedua-dua parti itu kemudian berusaha membentuk kerajaan bersama enam parti lain, namun disekat oleh Dewan Senat yang didominasi lantikan tentera serta pihak lawan yang konservatif.

Awal minggu ini, Parti Pheu Thai menerajui usaha membentuk kerajaan tanpa Parti Move Forward. Sebelum ini, cubaan Parti Move Forward untuk membentuk kerajaan berdepan pelbagai halangan daripada pihak konservatif protentera yang bimbang dengan agenda reformasinya.

Perlembagaan Thailand yang digubal ketika pentadbiran tentera, memperuntukkan undian bersama Dewan Rakyat dan Dewan Senat untuk memilih Perdana Menteri Thailand.

Parti Move Forward telah mencuba dua kali untuk mendapatkan kelulusan supaya pemimpinnya, Pita Limjaroenrat dilantik sebagai Perdana Menteri tetapi gagal meskipun memenangi kerusi terbanyak pada pilihan raya.

Sebelum ini, Parti Pheu Thai dilapor akan mencalonkan Srettha Thavisin sebagai Perdana Menteri, dengan Parlimen dijadual menjalankan pengundian, semalam.

Namun, pengundian itu ditangguhkan sementara menunggu semakan Mahkamah Perlembagaan dijadualkan pada 16 Ogos ini berhubung prosiding Parlimen yang menghalang pencalonan semula Pita untuk kali kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2023 @ 5:05 PM