THAKSIN Shinawatra. FOTO AFP
THAKSIN Shinawatra. FOTO AFP
Syah Rul Aswari Abdullah


Selasa lalu, taikun hartanah Srettha Thavisin dipilih sebagai perdana menteri baharu Thailand. Ia sekali gus menamatkan kebuntuan politik selepas negara itu masih tidak memiliki perdana menteri, kira-kira tiga bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 14 Mei lalu.

Pelantikan Srettha, 60, menerusi undian di Parlimen, hanya beberapa jam selepas bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra kembali ke negara itu. Thaksin, 74, yang berkhidmat sebagai perdana menteri dari 2001 hingga 2006, hidup dalam buangan selama 15 tahun, selepas kerajaannya digulingkan oleh tentera yang diketuai oleh Jeneral Sonthi Boonyaratglin.

Sebaik tiba di tanah air, Thaksin yang sebelum ini menghabiskan sebahagian besar masanya di Dubai, dihukum penjara lapan tahun atas tiga pertuduhan. Thaksin dipenjara tiga tahun kerana meluluskan pinjaman daripada Export-Import Bank of Thailand (EXIM Bank) kepada Kerajaan Myanmar untuk projek telekomunikasi. Beliau turut dihukum penjara dua tahun untuk kes berkaitan keputusan skim loteri kerajaan dan lima tahun penjara kerana mengubah kontrak bagi syarikatnya, SHIN Corp, dengan niat untuk memberi kelebihan kepada syarikat itu.

Menurut kenyataan Mahkamah Agung, hukuman itu dijatuhkan tanpa kehadiran Thaksin. Namun, hukuman itu dikurangkan kepada lapan tahun kerana ia dijalankan secara serentak. Thaksin kemudian dibawa ke Penjara Reman Bangkok untuk terus menjalani hukuman berkenaan.

Bagaimanapun, bilionair yang pernah menjadi pemilik Manchester City antara 2007 dan 2008 - sebelum menjual kelab itu kepada pelabur Kumpulan Abu Dhabi United pada September 2008 dengan harga 200 juta pound sterling (kira-kira RM1.18 bilion) itu - masih mempunyai peluang untuk mendapatkan pengampunan diraja. Permohonan itu boleh memakan masa antara satu hingga dua bulan. Tetapi, jika permohonan kali pertama ditolak, Thaksin perlu menunggu sehingga dua tahun untuk mengemukakan permohonan sama.

Persoalannya, mengapa Thaksin memilih untuk kembali ke Thailand? Ia meskipun mengetahui bahawa beliau akan terus 'disumbat' ke dalam penjara sebaik menjejakkan kaki ke Bangkok. Kepulangannya juga menimbulkan tanda tanya kerana hanya beberapa jam sebelum ahli Parlimen negara itu mengundi untuk memilih perdana menteri baharu.

Anak perempuan Thaksin, Paetongtarn Shinawatra menafikan kepulangan bapanya bermotifkan politik. Paetongtarn yang sebelum ini antara tiga calon Perdana Menteri daripada Parti Pheu Thai berkata, keputusan Thaksin untuk kembali adalah demi menjaga cucunya selepas meninggalkan negara itu selama lebih 15 tahun.

Namun, ia menimbulkan spekulasi bahawa kepulangan ini mengambil kira Parti Pheu Thai yang dikaitkan Thaksin akan kembali berkuasa. Ia memberi harapan bahawa hukuman terhadap bekas perdana menteri itu akan diringankan.

Thaksin sebelum ini pernah sekurang-kurangnya dua kali memberi tarikh untuk pulang ke Thailand, usai PRU 14 Mei lalu. Namun, beliau hanya berbuat demikian pada Selasa lalu apabila Parti Pheu Thai menamakan Srettha sebagai calon tunggal untuk perdana menteri. Pheu Thai - mengetuai gabungan 11 parti - termasuk dua parti yang disokong oleh tentera dalam usaha untuk membentuk kerajaan dan menamatkan kemelut politik negara itu.

Biarpun hidup dalam buangan, Thaksin kekal individu berpengaruh di Thailand. Ketibaan Thaksin di Lapangan Terbang Don Muang, Bangkok, dengan menaiki jet peribadi juga disambut meriah oleh penyokong 'Baju Merah'. Beliau amat disukai oleh golongan miskin luar bandar kerana dasarnya termasuk penjagaan kesihatan yang murah dan gaji minimum ketika memegang tampuk pentadbiran. Namun, golongan protentera dan penyokong raja melihat pemerintahannya sebagai korup, autoritarian dan mengancam ketenteraman sosial Thailand.

Pada masa sama, ada penyokong yang kecewa apabila melihat Pheu Thai yang dikaitkan dengan Thaksin, memilih untuk bekerjasama dengan pihak tentera. Ia memandangkan kerajaan sebelum ini digulingkan oleh tentera. Untuk rekod, rampasan kuasa oleh tentera bukan perkara baharu di Thailand. Ada sekurang- kurangnya 22 rampasan kuasa oleh tentera, namun hanya 13 berjaya. Ini termasuk kali terakhir pada 2014, apabila tentera merampas kuasa dan menggulingkan kerajaan caretaker yang dipimpin oleh adik Thaksin, Yingluck Shinawatra.

Namun, pemimpin Pheu Thai berkata, mereka tiada pilihan selain menjalin kerjasama dengan pihak tentera, memandangkan memerlukan undian mencukupi di dwidewan di Parlimen Thailand, jika mahu membentuk kerajaan. Ketiadaan sokongan senator yang dilantik junta sebelum ini juga menyebabkan Pita Limjaroenrat, 42, pemimpin Parti Move Forward (MFP) itu, gagal menjadi perdana menteri. Ia biarpun MFP menang kerusi terbanyak pada PRU lalu.

Di sebalik perkembangan ini, kepulangan Thaksin dilihat membayangkan kompromi antara parti didukung bekas perdana menteri itu dengan pihak tentera untuk menjadi blok konservatif dalam landskap politik Thailand. Mungkin juga, ia bagi mengekang populariti MFP - parti progresif dan disokong orang muda - yang secara terbuka mahu memperkenalkan undang-undang yang boleh mengekang kuasa tentera dalam politik dan menggubal undang-undang kontroversi, lese-mejeste, di negara itu.

Penulis Penolong Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Ogos 2023 @ 6:15 AM