THAKSIN Shinawatra. FOTO AFP
THAKSIN Shinawatra. FOTO AFP
AFP

Bangkok: Polis Thailand mendakwa bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra dengan tuduhan lese-majeste berhubung komen yang dibuatnya hampir sedekad lalu, kata pegawai pada Selasa, walaupun masih belum jelas sama ada kes itu akan dibawa ke mahkamah.

Thailand mempunyai beberapa undang-undang fitnah diraja yang paling ketat di dunia yang melindungi Raja Maha Vajiralongkorn dan keluarga terdekatnya, dengan setiap pertuduhan membawa kemungkinan hukuman penjara 15 tahun.

Bilionair kontroversi Thaksin, yang dua kali menjadi perdana menteri tetapi digulingkan dalam rampasan kuasa 2006, kembali dari buangan pada Ogos tahun lalu dan serta-merta dipenjarakan atas tuduhan lama berhubung rasuah dan salah guna kuasa.

Lelaki berusia 74 tahun itu dipindahkan ke hospital polis hampir serta-merta dan menjalani sekurang-kurangnya dua pembedahan.

Prayuth Pecharakun, jurucakap pejabat peguam negara, memberitahu pemberita polis memfailkan tuduhan lese-majeste akhir bulan lalu terhadap Thaksin, berhubung komen yang dibuatnya di Seoul pada 2015.

Pendakwa raya akan menunggu polis menyelesaikan siasatan mereka sebelum memutuskan sama ada meneruskan kes terhadap Thaksin, kata Prayuth.

Thaksin menafikan pertuduhan itu dan menulis surat kepada peguam negara untuk meminta layanan adil, kata Prayuth.

Kepulangan Thaksin ke Thailand serentak dengan partinya, Pheu Thai, kembali berkuasa dalam perjanjian kontroversi dengan parti protentera.

Ia mencetuskan khabar angin mengenai perjanjian untuk membantu Thaksin, dan spekulasi semakin meningkat apabila raja mengurangkan hukuman penjara Thaksin daripada lapan tahun kepada satu tahun, hanya beberapa hari kemudian.

Thaksin disukai berjuta-juta penduduk luar bandar Thai kerana dasar populisnya pada awal 2000-an, namun tidak untuk pertubuhan diraja dan protentera negara itu, yang menghabiskan sebahagian besar daripada dua dekad yang lalu untuk menghalangnya dan sekutu bekas perdana menteri itu daripada berkuasa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2024 @ 8:20 AM