API dan asap kelihatan di atas bangunan di Gaza selepas Israel melancarkan serangan di wilayah Palestin itu. FOTO AFP
API dan asap kelihatan di atas bangunan di Gaza selepas Israel melancarkan serangan di wilayah Palestin itu. FOTO AFP
AFP

Gaza: Israel dan Palestin berbalas tembakan di Semenanjung Gaza pada Jumaat, meningkatkan lagi kebimbangan selepas satu serbuan tentera di Tebing Barat.

Sebagai tindak balas kepada peluru berpandu, Israel berkata, pihaknya menyasarkan tapak pembuatan roket bawah tanah milik Hamas dan pangkalan tentera Gaza utara yang digunakan oleh kumpulan pejuang Palestin.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini dan kebanyakan roket yang dilepaskan dari kawasan pantai Palestin, dipintas oleh sistem pertahanan udara Israel.

Hamas dan pejuang Islam berikrar untuk bertindak balas terhadap serangan Israel di Tebing Barat, pada Khamis lalu.

Dalam serangan Israel di kem pelarian Jenin, sembilan orang terbunuh, manakala seorang lagi warga Palestin terbunuh dalam pergolakan berasingan Tebing Barat berhampiran Ramallah.

Menteri Pertahanan Israel Yoav Gallant berkata, pencerobohan itu menyasarkan kumpulan pejuang Islam yang didakwa mencetuskan serangan ke atas tentera dan orang awam Israel serta merancang melakukan serangan di Israel.

Tiga rakyat Palestin ditembak dalam pertempuran itu, manakala tentera Israel menembak dua lagi rakyat yang melarikan diri dan menembak suspek keenam di dalam sebuah bangunan.

Sementara itu, Pengarah Hospital Kerajaan Jenin, Wisam Bakr berkata, keadaan panik berlaku di wad pediatrik apabila beberapa kanak-kanak terhidu gas pemedih mata.

Tentera Israel memberitahu AFP serangan itu tidak jauh dari hospital dan ada kemungkinan gas pemedih mata masuk melalui tingkap yang terbuka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 January 2023 @ 10:22 AM