PENDUDUK Palestin berarak mengiringi mayat lelaki yang dibunuh rejim Zionis. FOTO AFP
PENDUDUK Palestin berarak mengiringi mayat lelaki yang dibunuh rejim Zionis. FOTO AFP
Agensi

Baitulmaqdis: Tentera rejim Israel menembak mati dua rakyat Palestin di Tebing Barat dalam keganasan terbaru yang meningkatkan ketegangan di rantau itu.

Agensi berita Al Jazeera melaporkan, tentera zionis melakukan serbuan pada Sabtu untuk menahan individu yang disyaki menembak terhadap warga Israel awal minggu ini.

"Dua syuhada, ditembak oleh penjajah (tentera Israel) tiba di hospital kerajaan di Thabet ," kata Kementerian Kesihatan Palestin dalam satu kenyataan yang turut menjelaskan serangan berlaku di kem pelarian Nur Shams berhampiran bandar Tulkarem.

Kedua-dua lelaki berusia 22 tahun dan meninggal dunia akibat kesan tembakan di dada, leher dan perut, tambah kementerian itu.

Tentera Israel mendakwa lelaki yang terbunuh itu terbabit dalam serangan tembak di Avnei Heftz pada Selasa yang mencederakan orang awam Israel.

Avnei Heftz ialah sebuah penempatan haram rejim zionis di Tebing Barat yang turut menyalahi undang-undang antarabangsa.

"Dua lelaki bersenjata itu ditembak dan dibunuh selepas cuba melarikan diri dari tempat kejadian," menurut kenyataan tentera rejim itu sambil menambah dua lagi ditahan.

"Dua senapang M-16, jaket tentera dan peluru dirampas ketika serbuan," katanya.

Hamas, yang berpangkalan di Semenanjung Gaza berkata, lelaki itu adalah ahli salah satu cawangan kumpulan itu.

Kenyataan itu berkata, lelaki itu terbabit dalam perjuangan bersenjata menentang tentera Israel.

Israel melakukan serbuan hampir setiap malam ke kawasan perkampungan, pekan dan bandar Tebing Barat selama lebih setahun.

Kematian meningkat kepada 111 rakyat Palestin yang dibunuh oleh tentera Israel sejak awal 2023. Kira-kira 50 terbunuh dalam serangan terhadap warga Israel.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mei 2023 @ 2:50 PM