PENDUDUK Palestin menunjukkan motosikal yang hangus selepas ditembak tentera Israel. FOTO AP
PENDUDUK Palestin menunjukkan motosikal yang hangus selepas ditembak tentera Israel. FOTO AP
AFP

Nablus: Tentera rejim zionis membunuh seorang lelaki Palestin di Tebing Barat pada Ahad, kata sumber Palestin.

Tentera Israel didakwa menembak lelaki itu yang dikatakan bersenjata bersama sekumpulan lelaki yang menaiki kenderaan dan motosikal di bandar itu.

Tentera rejim itu berkata, tentera melepaskan tembakan ke arah kumpulan lelaki bersenjata yang memandu dalam kenderaan dan motosikal berhampiran Nablus di utara Tebing Barat.

Kementerian Kesihatan Palestin melaporkan, lelaki yang terbunuh itu ialah Saed al-Koni.

Gabungan pejuang dipanggil 'The Lions Den' baru-baru ini muncul di Nablus mendakwa al-Koni sebagai seorang daripada ahli mereka.

Antara ahli kumpulan itu remaja, Ibrahim al-Nabulsi, yang menjadi wira rakyat negara itu di media sosial sejak dibunuh tentera Israel Ogos lalu.

Kematian al-Koni adalah yang kedua di Nablus dalam tempoh dua hari lalu.

Pada Sabtu, Muhammad Ali Hussein Awad, 36, dibunuh tentera Israel selepas tentera rejim itu mendakwa lelaki terbabit melakukan percubaan serangan dengan rempuhan menggunakan kenderaan.

Tentera zionis berkata, tentera dan polis melepaskan tembakan ke arah kenderaan itu selepas pemandu melanggar kenderaan mereka ketika rondaan di luar Nablus.

Kementerian Luar Palestin menyifatkan Awad sebagai warga Palestin yang dibunuh tanpa sebarang ancaman bahaya.

"Polis Israel sengaja menembak Awad, dengan tujuan untuk membunuhnya, selepas kenderaannya bertembung dengan kenderaan polis dalam kemalangan jalan raya," kata kementerian itu.

Tentera rejim zionis itu dikritik kerana kerap menggunakan kekerasan sehingga menyebabkan kematian sebagai tindak balas kepada ancaman rakyat Palestin.

Sejak Mac, Israel melancarkan ratusan serbuan di utara Tebing Barat, termasuk Nablus dan Jenin berdekatan, untuk memburu individu yang didakwanya terbabit dengan rancangan serangan maut yang menyasarkan pihak berkuasa Israel.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 September 2022 @ 4:22 PM