Sebahagian pelajar sekolah di Kupang yang tiba awal untuk sesi pembelajaran yang bermula jam 5.30 pagi. - FOTO AFP
Sebahagian pelajar sekolah di Kupang yang tiba awal untuk sesi pembelajaran yang bermula jam 5.30 pagi. - FOTO AFP
AFP

Kupang (Indonesia): Ibu kota wilayah Nusa Tenggara Timur, Kupang, sedang menjalankan projek rintis yang menetapkan pelajar senior atau Gred 12 di 10 sekolah menengah, perlu memulakan sesi pembelajaran seawal jam 5.30 pagi.

Pihak berkuasa menjelaskan, projek itu yang diumumkan pada bulan lalu oleh Gabenor Nusa Tenggara Timur, Viktor Laiskodat, bertujuan mengukuhkan disiplin pelajar.

Bagaimanapun, ibu bapa mendakwa ia mengakibatkan anak mereka 'kelesuan dan keletihan' setiap kali pulang dari sekolah.

Secara umum, sesi pembelajaran di sekolah Indonesia bermula antara jam 7 dan 8 pagi.

Kebiasaannya, sesi persekolahan harian berakhir sekitar jam 3.30 petang.

Pelaksanaan projek rintis itu menyaksikan pelajar terpaksa keluar seawal pagi, berjalan dalam keadaan gelap atau menunggu teksi motosikal, untuk ke sekolah.

"Ia amat sukar, mereka kini terpaksa keluar rumah ketika keadaan masih begitu gelap pada waktu pagi.

"Saya tidak dapat menerima ini. Keselamatan mereka tidak terjamin dalam keadaan gelap dan sunyi itu," kata Rambu Ata yang juga ibu kepada pelajar perempuan berusia 16 tahun.

Anaknya, Eureka, terpaksa bangun seawal jam 4 pagi untuk bersiap sebelum menunggang motosikal ke sekolah.

"Setiap kali pulang dari sekolah, dia berada dalam keadaan lesu serta letih, dan terus tertidur kerana begitu mengantuk," katanya kepada AFP.

Sementara itu pakar pendidikan dari Universiti Nusa Cendana, Marsel Robot berkata, pelaksanaan berkenaan dilihat tiada kaitan dengan usaha menambah baik kualiti pendidikan.

Malah dalam jangka panjang, katanya kekurangan tidur boleh memudaratkan kesihatan pelajar terbabit dan menyebabkan perubahan tingkah laku.

"Mereka hanya tidur beberapa jam dan ia memberi risiko serius terhadap kesihatan mereka. Ini juga akan menyebabkan pelajar tertekan, sekali gus mengambil tindakan melepaskan tekanan mereka itu," katanya.

Tindakan Kupang turut dicabar Ahli Parlimen yang menuntut kerajaan terbabit membatalkan dasar disifatkan sebagai tidak berasas itu.

Walaupun berdepan kritikan, kerajaan meneruskan pelaksanaan projek rintis itu, bahkan memperluaskannya kepada agensi pendidikan tempatan yang mana penjawat awam kini turut bertugas mulai jam 5.30 pagi.

Sementara itu, seorang penjawat awam di agensi terbabit, Rensy Sicilia Pelokilla bagaimanapun menyifatkan waktu bertugas pada awal pagi itu menjadikannya lebih sihat kerana perlu menyertai sesi senaman berkumpulan di pejabat.

"Sebagai penjawat awam, saya bersedia untuk mematuhi peraturan itu dan akan berusaha melakukan yang terbaik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mac 2023 @ 6:57 PM