Nor Fazlina Abdul Rahim


PELAJAR Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dabong, di Kuala Krai, teruja memulakan sesi persekolahan hari ini, apabila pelajar yang menaiki kereta api sudah menanti pengangkutan utama itu seawal 6 pagi.

Mereka yang tinggal di beberapa kampung termasuk Kampung Bukit Pacak, Kampung Bukit Abu dan Kuala Geris terpaksa menggunakan perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu (KTM) Antarabandar sebagai pengangkutan utama, memandangkan lokasi agak jauh untuk ke sekolah berkenaan iaitu antara 14 hingga 25 kilometer.

Setiap hari, kira-kira 200 pelajar dari SK Dabong dan SMK Dabong akan menggunakan perkhidmatan itu dengan pas bulanan RM8 sebulan.

Pelajar Tingkatan Dua, Tuan Intan Suraya Tuan Ismail berkata, selepas lebih tiga bulan bercuti, akhirnya dia dan rakan-rakan dapat kembali ke sekolah.

Katanya, perasaan hari pertama sesi persekolahan sangat berbeza memandangkan sekian lama bercuti dan dia begitu teruja untuk ke sekolah bertemu rakan dan guru.

"Seawal 5 pagi, saya sudah bangun kerana perlu bersiap dan jam 6 pagi, saya sudah tiba di stesen kereta api untuk ke sekolah.

"Kami yang bersekolah di SMK Dabong memang kebanyakannya menggunakan kereta api kerana tambang yang sangat murah iaitu RM8 sebulan.

"Sangat gembira dapat kembali ke sekolah dan lebih senang apabila dapat berdepan dengan guru, berbanding sebelum ini belajar menerusi dalam talian," katanya.

Rakannya, Siti Alisya Sofea Admi yang juga pelajar Tingkatan Dua berkata, walaupun sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dia masih belajar seperti biasa menerusi dalam talian, namun ia agak sukar kerana tidak dapat belajar secara berkumpulan.

"Ada perkara yang kita tidak faham dan rasa tidak puas kerana tidak boleh berbincang secara berdepan. Alhamdulillah akhirnya hari ini kami dapat kembali ke sekolah.

"Selain teruja ke sekolah, saya juga agak teruja kerana dapat menaiki kereta api memandangkan lebih tiga bulan tidak menggunakan pengangkutan itu kerana tidak bersekolah," katanya.

SEBAHAGIAN pelajar SMK Dabong teruja memulakan sesi persekolahan hari ini apabila pelajar yang menaiki keretapi sudah menanti pengangkutan  seawal jam 6 pagi. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
SEBAHAGIAN pelajar SMK Dabong teruja memulakan sesi persekolahan hari ini apabila pelajar yang menaiki keretapi sudah menanti pengangkutan seawal jam 6 pagi. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Berbeza dengan Safwan Azeeman Mohd Saufi iaitu pelajar Tingkatan Satu, dia nyaris terlepas kereta api kerana terlewat bangun.

"Jika sebelum ini 5 pagi saya sudah bangun namun hari ini 'terbabas' mungkin disebabkan sudah lama bercuti.

"Saya sedar jam hampir 6 pagi dan terus bersiap sebelum bergegas ke perhentian Kuala Geris. Syukur sebaik sahaja saya sampai, kereta api pun tiba," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2020 @ 9:15 AM