GURU Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SK Tun Syed Ahmad Shahabudin cuba memujuk murid untuk masuk ke perkarangan sekolah. FOTO Nuraliawati Sabri
GURU Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SK Tun Syed Ahmad Shahabudin cuba memujuk murid untuk masuk ke perkarangan sekolah. FOTO Nuraliawati Sabri
Nuraliawati Sabri

Melaka: Pelbagai ragam dan gelagat dipamerkan murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan Tun Syed Ahmad Shahabudin, Ayer Keroh, di sini, yang hadir ke sekolah, hari ini.

Walaupun selepas bercuti 'panjang' jelas kelihatan mereka teruja kembali ke sekolah dan berjumpa dengan guru yang sedia menyambut kehadiran mereka di pagar sekolah sejak awal pagi.

Bagi ibu kepada murid darjah satu PPKI Marhani Che Mohd Salleh, 46, bekata, sebagai persediaan awal dia sudah memaklumkan kepada anaknya sejak tiga hari lalu yang sesi persekolahan bermula hari ini.

Katanya, anaknya yang sebelum ini hanya sempat bersekolah selama dua minggu kelihatan teruja dan gembira apabila diberitahu akan ke sekolah.

"Tadi pagi liat juga dan sebaik dia bangun untuk mandi, kami di rumah tepuk tangan untuk buatkan dia lebih semangat.

"Dalam kereta pun tadi dia gembira dan teruja, mungkin bila lihat ramai orang di pagar sekolah buatkan dia sedikit terkejut serta tidak mahu masuk dan ingin balik," katanya ketika ditemui.

Bagi bapa kepada seorang lagi murid Mohd Ilham Iberahim, 42, berkata, dia dapat lihat jelas keterujaan anak sulungnya berusia lapan tahun itu untuk kembali bersekolah.

"Dalam terujanya itu, dia ada juga cakap yang berdebar mungkin untuk bergaul dengan kawan- kawan baharu kerana sebelum ini dia bersekolah di tempat lain.

"Tidak mahu dia terus takut dan cemas saya memberinya nasihat dan berpesan keadaan di sini sama seperti sekolah lama selain rakan- rakan juga baik," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk TS Kamel Mohamad berkata, di Melaka seramai 3, 000 pelajar dan murid memulakan sesi persekolah secara bersemuka hari ini.

Kata beliau, jumlah itu membabitkan 40 sekolah menengah dengan jumlah 1, 400 pelajar manakala 105 sekolah rendah dengan kehadiran seramai 1, 600 murid.

"Mereka yang hadir ke sekolah hari ini untuk belajar secara bersemuka membabitkan murid pendidikan khas dan juga pelajar tingkatan enam semester dua.

"Saya mewakili kerajaan negeri mengucapkan syabas kepada warga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN)yang membuat persiapan serta persediaan bagi memboleh sesi persekolah dibuka," katanya selepas meninjau sesi pembukaan sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Oktober 2021 @ 1:27 PM