JEPUN menganjurkan Piala Dunia SpoGomi pertama November tahun ini. FOTO The Nippon Foundation
JEPUN menganjurkan Piala Dunia SpoGomi pertama November tahun ini. FOTO The Nippon Foundation
Agensi

Tokyo: SpoGomi gabungan 'sukan' dan 'gomi' (Bahasa Jepun untuk sampah) ialah pertandingan popular di mana pasukan terdiri daripada tiga hingga lima orang cuba mengutip sampah paling banyak dengan kualiti tertinggi dalam tempoh masa ditetapkan.

Oddity Central melaporkan, Jepun baru-baru ini mengumumkan, ia akan menjadi tuan rumah Piala Dunia SpoGomi pertama pada November 2023, dengan pasukan dari seluruh dunia menjelajah jalan di Tokyo untuk mengutip sampah.

Setiap pasukan terdiri daripada tiga pemain akan mempunyai 60 minit untuk mengumpul paling banyak sampah dari kawasan ditetapkan, sambil cuba menyusunnya dengan betul ke dalam beg berkod warna untuk setiap jenis (sisa boleh dibakar, plastik kitar semula, tin logam).

Apabila masa tamat, sampah akan ditimbang dan diperiksa untuk pengisihan yang betul dan pasukan yang mengutip paling banyak sampah akan diumumkan sebagai pemenang.

Sekiranya seri, pemenang ditentukan oleh kualiti sampah dengan mata diberikan mengikut jenis (puntung rokok memenangi mata terbanyak).

Piala Dunia SpoGomi yang julung kali diadakan adalah acara yang bagus untuk menggalakkan orang ramai menjaga kebersihan ruang awam, tetapi dari segi aspek persaingan, terdapat sedikit keraguan mengenai pasukan yang akan menang.

Lagipun, orang Jepun terkenal dengan mementingkan kebersihan.

Sejak Piala Dunia Bola Sepak yang pertama disertai oleh pasukan kebangsaan (Perancis, 1998), peminat Jepun mengejutkan dunia dengan ritual selepas perlawanan apabila mengutip sampah dari tempat duduk penonton.

Jepun mencipta SpoGomi dan mengadakan pertandingan tempatan sejak 2008. Sukan baharu ini mendapat sambutan yang sangat pantas dan hari ini, ratusan pertandingan dianjurkan setiap tahun.

Terdapat peraturan yang jelas ditetapkan daripada peraturan keselamatan seperti dilarang memungut sampah berhampiran jalan raya atau landasan kereta api kepada peraturan semangat kesukanan seperti menghormati peraturan pasukan lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Februari 2023 @ 2:27 PM