MUJAHID (tengah) bersama jemaah haji dan pengurus maktab menunjukkan poster Program Kebersihan Perdana Masyair musim haji 1439 Hijrah.
MUJAHID (tengah) bersama jemaah haji dan pengurus maktab menunjukkan poster Program Kebersihan Perdana Masyair musim haji 1439 Hijrah.
Tuan Asri Tuan Hussein

MAKKAH: Jemaah haji Malaysia disaran menjadi contoh dalam aspek menjaga kebersihan sehingga mampu menjadi penanda aras kepada jemaah haji lain dari seluruh dunia.

Itu matlamat Program Kebersihan Perdana Masyair musim haji 1439 Hijrah yang dilancarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, semalam.

Majlis pelancaran program itu diadakan bersama jemaah haji di lobi Maktab 72 Hotel Land Premium, di sini.

Turut hadir, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi Datuk Zainol Rahim Zainuddin dan Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Mujahid berkata, program julung kali diadakan itu diharap menjadi satu lagi nilai tambah kepada imej jemaah haji Malaysia yang memang dikenali berdisiplin tinggi.

“Jemaah haji Malaysia memang terkenal dengan adab dan sopan santun kerana selalu ikut undang-undang serta tak gopoh dalam melaksanakan ibadat.

“Kali ini kita nak tambah satu lagi nilai akhlak kepada jemaah haji Malaysia yang dapat menjadi satu penanda aras kepada jemaah haji dunia yang lain iaitu aspek kebersihan,” katanya.

Menurutnya, program itu akan berlangsung sepanjang tempoh Masyair yang bermula dengan wukuf di Arafah pada Isnin, diikuti bermalam di Muzdalifah dan Mina yang berakhir pada 24 Ogos depan.

“Di Arafah dan Muzdalifah aktiviti program dilakukan secara kendiri oleh jemaah atas kesedaran yang kita terapkan melalui pengurus maktab masing-masing.

“Aktiviti lebih tersusun akan kita buat sepanjang tiga hari jemaah berada di Mina iaitu pada 11 hingga 13 Zulhijjah (22 hingga 24 Ogos) pada jam 8 hingga 9 pagi setiap hari,” katanya.

Mujahid berkata, dalam tempoh sejam selama tiga hari itu semua jemaah Malaysia akan dibekalkan plastik untuk bergotong-royong mengutip sampah di kawasan khemah tempat tinggal mereka.

Menurutnya, program kesedaran kebersihan ini turut mendapat sokongan dan kerjasama daripada Majlis Muassasah Asia Tenggara.

Beliau berharap aktiviti jemaah haji Malaysia mengutip sampah dan menjaga kebersihan di Arafah, Muzdalifah dan Mina dapat menjadi contoh kepada seluruh dunia sebagaimana aksi penyokong Jepun mengutip sampah ketika Piala Dunia 2018 di Russia yang lalu.

“Bila tempat kita jadi paling bersih, kita nak orang kata inilah contoh peribadi muslim. Insya-Allah kita harumkan nama Malaysia dengan akhlak sebagai muslim,” katanya.

Mujahid berkata, kerajaan amat menyokong inisiatif Tabung Haji (TH) menganjurkan program itu dan turut berbangga jika ia dapat menjadi contoh kepada jemaah haji lain dari seluruh dunia.

Katanya, inisiatif TH itu bersesuaian dengan dasar yang sudah diterap dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) iaitu 'Rahmatan lilalamin" atau rahmat kepada seluruh alam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Ogos 2018 @ 3:36 PM