FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

Sydney: Seorang lelaki kritikal selepas diserang seekor buaya ketika mengutip telur reptilia itu di kawasan paling terpencil di wilayah utara, Australia.

Ketika kejadian, lelaki itu sedang mengutip telur buaya di sepanjang Sungai Daly sebelum diserang reptilia itu.

Buaya itu membaham kaki lelaki berusia 29 tahun itu menyebabkan mangsa parah, namun dia berjaya melepaskan diri daripada rahang reptilia itu.

Mangsa, dikejarkan ke Hospital Royal Darwin menggunakan helikopter persendirian.

Jurucakap pihak Kesihatan Wilayah Utara berkata, keadaan lelaki yang sedang menjalani pembedahan kecemasan itu semakin merosot dan kritikal.

Lelaki itu kritikal namun stabil DAN kemudiannya dipindahkan ke Hospital Royal North Shore, Sydney.

Pengumpulan telur buaya disahkan kerajaan pada 2018, tetapi tertakluk kepada peraturan ketat.

Mereka yang mempunyai lesen boleh mengutip telur yang membawa pulangan lumayan.

Sebiji telur buaya dijual pada harga kira-kira AS$30 (RM127.97), manakala 60 biji telur dengan sarangnya boleh mencecah sehingga AS$1,800 (RM7,678.44).

Sebahagian daripada telur itu dipindahkan ke ladang buaya sebelum ia menetas dan dibesarkan.

Reptilia itu kemudian dibunuh untuk kulitnya bagi kegunaan membuat produk mewah seperti beg tangan.

Kira-kira 1,000 orang terbunuh setiap tahun akibat diserang buaya, berbanding kematian akibat serangan jerung iaitu hanya kurang daripada 500 orang sejak 1950.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Februari 2023 @ 11:28 AM