PELURU berpandu dilancarkan dari kereta api di wilayah Pyongan, Korea Utara. FOTO EPA s
PELURU berpandu dilancarkan dari kereta api di wilayah Pyongan, Korea Utara. FOTO EPA s
AFP

Seoul: Korea Utara, pada Jumaat, melepaskan dua peluru berpandu taktikal yang dilancarkan dari kereta api, lapor media kerajaan.

Itu adalah ujian senjata ketiga negara itu, bulan ini, walaupun menerima sekatan baharu Amerika Syarikat (AS).

Tentera Korea Selatan berkata, mereka mengesan pelancaran dua peluru berpandu balistik jarak dekat semalam, hanya beberapa jam selepas Pyongyang menuduh AS melakukan provokasi berhubung sekatan baharu.

Menurut laporan agensi berita Korea Utara, KCNA, hari ini, peluru berpandu yang digunakan dalam latihan tembakan Korea Utara itu sekali gus mencetuskan desakan AS terhadap sekatan baharu ke atas negara terbabit.

Berdasarkan maklumat Ketua Turus Bersama Korea Selatan, pihaknya mengesan objek dipercayai dua peluru berpandu balistik jarak dekat yang dilancarkan ke arah timur dari wilayah Pyongan di pantai barat laut Korea Utara.

KCNA melaporkan latihan menembak itu diadakan untuk menyemak dan menilai kecekapan dalam prosedur tindakan rejimen bawaan kereta api, yang diuji negara buat kali pertama pada September lalu, dan direka sebagai serangan balas yang berpotensi kepada mana-mana ancaman kuasa.

Ia adalah kali ketiga Korea Utara melancarkan peluru berpandu balistik sejak tahun ini, membabitkan ujian senjata yang luar biasa pantas.

Dua pelancaran sebelum ini membabitkan peluru berpandu hipersonik berkelajuan tinggi.

Latihan itu dibuat hanya beberapa jam selepas Pyongyang menyelar tindakan AS meneruskan sekatan baharu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung beberapa siri pelancaran baru-baru ini yang dianggap sebagai provokasi dan amaran tindak balas.

Namun, pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un dilaporkan tidak menghadiri latihan itu.

Korea Utara sering mempertahankan ujian peluru berpandu sebagai hak kedaulatannya untuk mempertahankan diri dan menuduh AS sengaja memburukkan keadaan dengan sekatan baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 January 2022 @ 12:37 PM