KOREA Utara didakwa melancarkan peluru berpandu ke Laut Timur. FOTO AFP
KOREA Utara didakwa melancarkan peluru berpandu ke Laut Timur. FOTO AFP
AFP

Seoul: Tentera Korea Selatan mendakwa, Korea Utara melancarkan peluru berpandu.

Perkembangan itu seminggu selepas pemimpin Kim Jong Un berikrar untuk meningkatkan senjata nuklear Pyongyang, pada kelajuan sepantas mungkin.

Ia adalah pelancaran terbaharu siri ujian senjata Korea Utara yang melanggar sekatan, setakat tahun ini, dan dibuat selepas pegawai Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan memberi amaran bahawa Pyongyang sedang bersedia untuk meneruskan ujian nuklear.

Ketua Turus Korea Selatan dalam satu kenyataan mengesahkan satu peluru berpandu balistik dilepaskan Korea Utara dari sekitar Sunan ke arah Laut Timur (Laut Jepun), hari ini.

"Pada masa ini, tentera kita mengekalkan posisi siap sedia dengan menjejak dan memantau pergerakan berkaitan sebagai persediaan untuk pelancaran tambahan," katanya.

Pengawal Pantai Jepun juga berkata, Korea Utara berpotensi melancarkan peluru berpandu balistik.

Negara bersenjata nuklear itu melancarkan kembali dramatik kepada pelancaran jarak jauh pada Mac untuk menguji tembakan pada jarak penuh peluru berpandu balistik antara benua yang paling berkuasa yang mungkin boleh sampai ke benua AS.

Ujian sedemikian dihentikan sementara ketika Kim bertemu dengan Presiden AS Donald Trump untuk mengembalikan hubungan diplomasi yang runtuh pada 2019.

Perbincangan terhenti sejak itu, dan walaupun dikenakan sekatan, Korea Utara menggandakan usaha pemodenan ketenteraannya.

Kim juga memberi amaran dia boleh menggunakan kuasa nuklearnya untuk menentang pasukan musuh pada pertemuan dengan pegawai tertinggi tentera minggu lalu.

Ujian senjata terbaharu dibuat hanya beberapa hari sebelum presiden Korea Selatan Yoon Suk-yeol, yang berikrar pendirian lebih tegas terhadap Korea Utara, untuk mengambil alih jawatan minggu depan.

Hong Min dari Institut Korea untuk Penyatuan Kebangsaan berkata, Yoon membayangkan beliau hanya bersedia bercakap tentang keamanan jika Korea Utara mengesahkan bersedia untuk menghapuskan nuklear sesuatu yang tidak akan diterima Pyongyang.

"Ia boleh menjadi mesej amaran kepada... Yoon.

"Ia juga memberi isyarat kepada pendirian Pyongyang mereka tiada pilihan selain meningkatkan lagi senjatanya jika Seoul dan Washington memutuskan untuk menempatkan aset ketenteraan strategik ke Selatan," katanya.

Presiden AS, Joe Biden dijangka mengadakan lawatan ke Korea Selatan bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mei 2022 @ 1:30 PM