REAKSI wanita Palestin ketika pengebumian Jana Zakaran di Jenin, bandar di Tebing Barat. FOTO AP
REAKSI wanita Palestin ketika pengebumian Jana Zakaran di Jenin, bandar di Tebing Barat. FOTO AP
AP

Baitulmaqdis: Tentera Israel pada Isnin mengakui anggotanya membunuh seorang remaja perempuan Palestin semasa operasi di Tebing Barat.

Bagaimanapun, tentera mendakwa ia dikatakan tidak disengajakan kerana tembakan yang ditujukan kepada lelaki bersenjata di kawasan itu.

Ia adalah pengakuan jarang berlaku mengenai kesilapan tentera yang sudah menjalankan operasi penangkapan setiap hari di Tebing Barat, selama hampir sembilan bulan.

Berikutan itu, Perdana Menteri Israel menzahirkan kesedihan atas kematian gadis itu tetapi berkata, operasi di kawasan itu akan diteruskan.

Kira-kira 150 rakyat Palestin terbunuh dalam pertempuran Israel-Palestin di Tebing Barat dan timur Baitulmaqdis pada tahun ini, menjadikannya tahun paling tragis sejak 2006.

Tentera Israel berkata, kebanyakan rakyat Palestin yang terbunuh adalah pejuang Islam.

Bagaimanapun, pemuda yang membaling batu membantah pencerobohan tentera Israel dan orang lain yang tidak terbabit dalam konfrontasi, termasuk seorang wartawan terkemuka Al Jazeera, juga terbunuh dalam pertempuran itu.

Pegawai Palestin berkata, Jana Zakaran, 16, dibunuh pada Isnin di bandar utara Jenin ketika mangsa berada di atas bumbung rumahnya.

Dalam satu kenyataan, tentera Israel berkata, siasatan awal mendapati gadis itu terkena tembakan tidak sengaja yang ditujukan kepada lelaki bersenjata di atas bumbung, di kawasan berhampiran.

Ia berkata, pasukan melepaskan tembakan selepas lawan melemparkan bom api dan melepaskan tembakan ke arah askar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2022 @ 10:38 AM