GAMBAR hiasan. FOTO AFP
GAMBAR hiasan. FOTO AFP
Agensi

Beijing: Partikel halus dalam udara tercemar di China menjadi penyebab 64,000 kematian bayi dalam kandungan setiap tahun.

Kajian itu menganalisis 137 negara dan mendapati pendedahan kepada partikel halus yang biasanya dihasilkan apabila bahan api fosil dibakar dan lebih kecil berbanding 2.5 mikron (PM2.5) menyebabkan 40 peratus kelahiran mati di Amerika Latin, Asia dan Afrika pada 2015.

Dalam kajian itu turut mendedahkan, 98 peratus kelahiran mati berlaku di dunia.

China tersenarai di tempat keempat berdasarkan kematian janin yang berkaitan dengan PM2.5, menurut kajian diterbitkan jurnal saintifik Nature Communications.

Penyelidik Universiti Peking yang diketuai Xue Tao, menunjukkan langkah yang diambil pihak berkuasa China dalam dekad lalu untuk mengawal pencemaran udara mengurangkan jumlah kematian sedemikian.

"Kualiti udara yang lebih baik di beberapa daripada 137 negara (contohnya China) mungkin mendasari pengurangan beban kelahiran mati secara global.

"Justeru, dengan memenuhi sasaran kualiti udara Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), ia boleh menghalang kelahiran mati," kata penyelidik.

Pengarang utama kajian, Zhu Tong mendakwa, partikel pencemaran yang melalui plasenta boleh menyebabkan kerosakan embrio dan tidak dapat dipulihkan serta mengganggu penghantaran oksigen kepada janin.

"Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, China bekerja keras untuk merawat pencemaran udara dan melihat peningkatan kualiti udara sangat penting untuk perlindungan kesihatan wanita hamil dan kanak-kanak.

"Bagaimanapun, populasi ramai dan pembangunan sosial yang tidak sekata menyebabkan masih ada sebilangan besar wanita hamil terdedah kepada pencemaran udara," katanya dalam portal WION News.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2022 @ 3:09 PM