FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

London: Kajian mendedahkan, zarah pencemaran udara toksik ditemukan dalam tisu paru-paru, hati dan otak bayi yang masih dalam kandungan.

Penyelidikan yang diterbitkan dalam jurnal Lancet Planetary Health itu, menemui zarah pencemaran udara dalam setiap sampel tisu paru-paru, hati, otak, darah tali pusat dan plasenta.

Udara kotor diketahui boleh menyebabkan peningkatan keguguran, kelahiran pramatang, berat lahir rendah dan perkembangan otak terganggu.

Penyelidik berkata, penemuan baharu itu adalah sangat membimbangkan kerana tempoh kehamilan janin adalah peringkat perkembangan manusia paling terdedah risiko serta menyebabkan kesan kesihatan sepanjang hayat.

Ribuan zarah karbon hitam ditemukan dalam setiap milimeter padu tisu yang dihirup ibu hamil sebelum melalui aliran darah, plasenta dan seterusnya ke janin.

Zarah ditemukan itu adalah jelaga yang terhasil daripada pembakaran bahan api fosil dari kenderaan, rumah dan kilang yang boleh menyebabkan keradangan dalam badan serta membawa bahan kimia toksik.

Kajian itu dijalankan terhadap ibu hamil yang tidak merokok di Scotland dan Belgium, di tempat yang mempunyai pencemaran udara agak rendah.

Sebanyak 36 janin yang diperiksa dalam kajian Scotland membabitkan usia kehamilan antara tujuh hingga 20 minggu.

Di Belgium pula, sampel darah tali pusat diambil selepas 60 kelahiran yang sihat.

Prof Paul Fowler dari Universiti Aberdeen, Scotland berkata, kajian itu menunjukkan buat kali pertama nanopartikel karbon hitam bukan sahaja masuk ke dalam plasenta trimester pertama dan kedua, namun turut ditemukan dalam organ janin yang sedang berkembang.

"Apa yang lebih membimbangkan zarah ini juga masuk ke dalam otak manusia yang sedang berkembang.

"Ini bermakna, nanopartikel ini berhubung secara langsung dengan sistem kawalan organ dan sel janin manusia," katanya.

Sementara itu, Prof Tim Nawrot dari Universiti Hasselt, Belgium, yang mengetuai kajian itu berkata, peraturan kualiti udara harus mengiktiraf pemindahan pencemaran udara ini semasa kehamilan dan bertindak untuk melindungi peringkat perkembangan manusia yang paling mudah terdedah.

"Kerajaan bertanggungjawab mengurangkan pencemaran udara, tetapi orang ramai juga harus mengelak jalan raya yang sibuk semampu yang boleh," katanya.

Pertama kali zarah pencemaran udara dikesan dalam plasenta ialah pada 2018 apabila Profesor di Universiti Queen Mary, London, Jonathan Grigg dan rakan pasukannya membuat penyelidikan.

Lebih 90 peratus penduduk dunia tinggal di kawasan pencemaran udara melebihi garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hingga menyebabkan jutaan kematian awal setiap tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2022 @ 9:12 AM