PEMINAT  bola sepak Iran memegang jersi bagi mengenang Mahsa Amini, di dalam stadium sebelum perlawanan Piala Dunia Qatar -Kumpulan B. FOTO Reuters
PEMINAT bola sepak Iran memegang jersi bagi mengenang Mahsa Amini, di dalam stadium sebelum perlawanan Piala Dunia Qatar -Kumpulan B. FOTO Reuters
AFP

Tehran: Selepas dua bulan tekanan rusuhan kematian gadis berketurunan Kurdis-Iran, Mahsa Amini, di seluruh negara, Iran membubarkan penubuhan polis moral.

Jurucakap Majlis Praesidium Parlimen, Seyyed Nezamoldin Mousavi berkata, tindakan itu perlu dilakukan selepas mengakui kesan rusuhan yang menjejaskan ekonomi akibat sekatan Amerika Syarikat (AS).

"Cara terbaik untuk menghadapi rusuhan adalah memberi perhatian kepada tuntutan sebenar rakyat," katanya.

Mengulas pembubaran itu, Peguam Negara Mohammad Jafar Montazeri yang dipetik agensi berita ISNA berkata, polis moral yang dimansuhkan tiada kaitan dengan badan kehakiman.

Pengumuman pembubaran unit itu dibuat sehari selepas Montazeri dilaporkan berkata, kedua-dua parlimen dan badan kehakiman sedang berusaha menyelesaikan isu berkenaan sama ada undang-undang yang mewajibkan wanita menutup kepala perlu diubah atau tidak.

Rusuhan membela kematian Mahsa yang dalam tahanan polis moral atas dakwaan melanggar peraturan pakaian wanita di negara itu bermula September lalu.

Rusuhan yang diketuai wanita melanda seluruh negara sejak wanita berusia 22 tahun yang berasal dari Kurdistan itu meninggal dunia pada 16 September, tiga hari selepas penahanannya oleh polis moral di Tehran.

Penunjuk perasaan membakar tudung wajib mereka sambil menjerit slogan anti-kerajaan.

Sejak peristiwa itu semakin ramai wanita terutama di Tehran, mengelak daripada memakai tudung.

Sejak Revolusi Islam 1979 yang menggulingkan kerajaan yang disokong AS, pihak berkuasa memantau pematuhan kod pakaian yang ketat untuk wanita dan lelaki.

Namun, di bawah Presiden Mahmoud Ahmadinejad, polis moral atau nama rasminya, Gasht-e Ershad ditubuhkan untuk meningkatkan kesedaran budaya sopan dan berhijab.

Unit berkenaan ditubuhkan Majlis Tertinggi Revolusi Kebudayaan Iran yang kini diketuai Presiden Ebrahim Raisi.

Rondaan pertama mereka dimulakan pada 2006 untuk menguatkuasakan kod berpakaian yang turut mewajibkan wanita memakai pakaian labuh dan melarang seluar pendek, jeans koyak dan pakaian lain yang dianggap tidak sopan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2022 @ 1:44 PM