Tehran: Pencinta anjing di Iran bakal dikenakan 74 sebatan mengikut perundangan baru yang melarang mereka menyimpan haiwan itu atau membawanya bersiar-siar di tempat awam.

Draf perundangan yang ditandatangani 32 anggota parlimen negara konservatif itu turut mengenakan denda tinggi terhadap pesalah, lapor akhbar Shargh.

Walaupun dianggap najis dalam Islam dan jarang menjadi haiwan peliharaan di Iran, ada keluarga yang menyimpan anjing secara sembunyi malah di kawasan penduduk berada kadangkala dilihat haiwan itu dibawa berjalan.

Polis moral Iran yang menjaga tempat awam sebelum ini menahan pemilik anjing yang membawa binatang peliharaan itu berjalan dengan memberi amaran, kadang-kalah merampas haiwan itu.

Jika perundangan baru itu diluluskan Parlimen, pemilik anjing yang didapati bersalah boleh disebat atau didenda antara 10 juta riyal (RM1,300) hingga 100 juta riyal (RM12,500).

“Sesiapa yang membawa anjingnya berjalan atau bermain dengan haiwan seperti anjing atau monyet di tempat awam dianggap merosakkan kebudayaan Islam selain menggugat kebersihan dan ketenangan orang lain terutama wanita dan kanak-kanak,” antara kata-kata perundangan baru itu.

Anggota Parlimen konservatif bimbang budaya Barat menular di negara itu termasuk penggunaan Internet dan televisyen satelit serta memiliki anjing yang dianggap bertentangan dengan Islam. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 November 2014 @ 5:01 AM