BENJAMIN Netanyahu. FOTO AP
BENJAMIN Netanyahu. FOTO AP
AFP

Baitulmaqdis: Bekas Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu kembali berkuasa apabila pengiraan undi terakhir dalam pilihan raya minggu ini memberikannya dan sekutu, majoriti yang jelas di Parlimen.

Keputusan yang dikeluarkan oleh suruhanjaya pilihan raya menyatakan dengan 99 peratus undi dikira, sebahagian daripada sayap kanan Netanyahu, parti Likud memperoleh 32 kerusi daripada 120 kerusi Parlimen Israel dikenali Knesset.

Angka itu dengan 18 kerusi daripada dua parti ultra-Ortodok Yahudi dan 14 untuk pakatan kanan ekstrem yang semakin dipanggil Zionisme Agama memberikan blok yang menyokong Netanyahu sebanyak 64 kerusi.

Parti yang menyokong Perdana Menteri, Yair Lapid memenangi 51 kerusi.

Ia menjadikan kemenangan pasti untuk Netanyahu sekali gus menamatkan era kebuntuan politik Israel yang belum pernah berlaku sebelum ini, apabila lima pilihan raya diadakan dalam tempoh kurang empat tahun.

Bekas perdana menteri itu menyelia pelbagai serangan terhadap kumpulan bersenjata Palestin di Gaza dan, beberapa jam selepas kemenangannya dalam pilihan raya disahkan, pejuang di kawasan yang dikenakan sekatan itu melepaskan empat roket ke arah Israel, kata tentera.

Satu daripadanya dipintas dan tiga lagi "meletup di dalam jalur Gaza", kata tentera lagi, mengesahkan pelancaran pertama dari wilayah itu sejak konflik tiga hari pada Ogos antara Israel dan kumpulan bersenjata Jihad Islam.

Netanyahu, 73, membuat kemunculan semula selepas 14 bulan menjadi pembangkang.

Dia kekal dibicarakan berhubung dakwaan rasuah, tuduhan yang dinafikannya dengan prosiding kes itu bersambung di mahkamah, pada Isnin depan.

Keputusan rasmi yang diperakui akan dibentangkan pada Rabu kepada Presiden Israel Isaac Herzog, yang akan menugaskan Netanyahu untuk membentuk kerajaan.

Netanyahu, yang berkhidmat sebagai perdana menteri lebih lama daripada sesiapa pun dalam sejarah 74 Israel, kemudian akan mula berkongsi jawatan kabinet dengan rakan gabungannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2022 @ 11:23 AM