BENJAMIN Netanyahu. FOTO Reuters
BENJAMIN Netanyahu. FOTO Reuters
AFP

Baitulmaqdis: Veteran politik Israel, Benjamin Netanyahu mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri negara haram itu, semalam.

Netanyahu, 73, yang berdepan tuduhan rasuah di mahkamah menjadi perdana menteri paling lama dalam sejarah Israel iaitu dari 1996 hingga 1999, dan 2009 hingga 2021.

Pelantikan beliau selepas mendapat undian dan diluluskan di Parlimen serta melantik bekas menteri, Amir Ohana sebagai Speaker, manakala bekas menteri perisikan Israel, Eli Cohen yang juga penggubal perjanjian normalisasi dinamakan sebagai Menteri Luar Negeri.

Dalam mesyuarat Kabinet pertamanya semalam, Netanyahu berkata, misi utamanya adalah menggagalkan usaha Iran membangunkan senjata nuklear dan memulihkan keselamatan serta kedaulatan dalam Israel.

Beliau juga berikrar untuk menangani peningkatan kos sara hidup dan memperluas keamanan dengan negara-negara Arab, berikutan perjanjian Amerika Syarikat (AS) dengan Emiriah Arab Bersatu, Bahrain serta Maghribi.

Netanyahu digulingkan pada Jun 2021 oleh gabungan berhaluan kiri, berhaluan tengah dan parti Arab yang diketuai sayap kanan, Naftali Bennett serta bekas penyampai berita televisyen, Yair Lapid.

Selepas kemenangannya dalam pilihan raya pada 1 November lalu, Netanyahu mengadakan perbincangan dengan parti ultra-Ortodoks dan ekstrem kanan, antaranya Parti Agama Zionis pimpinan Bezalel Smotrich dan Parti Kuasa Yahudi pimpinan Itamar Ben-Gvir.

Susulan pelantikan beliau itu, Duta Israel ke Perancis Yael German, meletak jawatan sebagai protes terhadap kerajaan baharu yang dianggap bertentangan dengan prinsip.

Penganalisis berkata, Netanyahu menawarkan rundingan dengan harapan kes rasuahnya digugurkan.

Profesor Sains Politik dari Universiti Terbuka Israel Denis Charbit berkata, Smotrich dan Ben-Gvir mempunyai kuasa yang sangat kuat dan keutamaan mereka kekal sebagai pengembangan penempatan di Tebing Barat.

Ben-Gvir berulang kali melawat perkarangan Masjid Al-Aqsa, Baitulmaqdis dan rakyat Palestin berpandangan lawatan itu sebagai provokasi.

"Jika Ben-Gvir sebagai menteri pergi ke Al-Aqsa, ia adalah amaran dan akan membawa kepada letupan," kata pegawai kanan gerakan Islam Hamas yang memerintah Semenanjung Gaza, Basem Naim.

Israel dan Hamas berperang pada Mei 2021 dan pada Ogos tahun ini, pejuang Palestin di Gaza dan Israel berbalas tembakan selama tiga hari.

Di Tebing Barat, keganasan meningkat tahun ini dan ramai bimbang berlaku lebih banyak pergolakan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Disember 2022 @ 11:40 AM