NETANYAHU bakal didakwa atas tuduhan rasuah, penipuan dan pecah amanah. FOTO AFP
NETANYAHU bakal didakwa atas tuduhan rasuah, penipuan dan pecah amanah. FOTO AFP
AFP

TEL AVIV: Peguam Negara Israel, semalam mengumumkan hasrat mendakwa Perdana Menteri Benjamin Netanyahu atas tuduhan rasuah, penipuan dan pecah amanah dalam keputusan yang dibuat beberapa minggu menjelang pilihan raya umum April ini.

Pengumuman yang dinantikan sekian lama itu dilihat akan menggoyahkan kempen politik dan mengancam kepemimpinan Netanyahu pada kemuncak politik Israel.

Peguam Negara Israel, Avichai Mandelblit, dalam kenyataan berkata, dia berhasrat mendakwa Netanyahu sementara menantikan sesi pendengaran, peluang kepada pemimpin itu untuk mempertahankan diri sebelum tuduhan difailkan.

Pengumuman dibuat menjelang pilihan raya 9 April ini yang menyaksikan Netanyahu berhadapan cabaran kuat daripada pakatan parti politik diketuai ketua turus staf tentera, Benny Gantz.

Netanyahu, yang menyangkal semua tuduhan, dijangka berucap pada jam 8.00 malam ini waktu tempatan dan parti Likud pimpinannya menyifatkan dakwaan itu sebagai ‘penganiayaan politik’.

“Siaran sehala pengumuman Peguam Negara cuma sebulan sebelum pilihan raya, tanpa memberikan peluang kepada Perdana Menteri menafikan semua tuduhan, adalah campur tangan jelas dan tidak pernah terjadi sebelum ini pada pilihan raya,” kata Likud dalam kenyataan.

Netanyahu menjadi Perdana Menteri selama 13 tahun dan bakal menggantikan David Ben-Gurion sebagai Perdana Menteri paling lama berkuasa jika menang pada April ini.

Dia tidak perlu meletak jawatan jika didakwa, cuma jika disabitkan dengan semua rayuan ditolak.

Netanyahu menyifatkan siasatan itu sebagai usaha musuh politiknya untuk menumbangkan pentadbirannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2019 @ 11:46 AM