MAYAT ditemukan di dalam beg berkenaan. FOTO NZ Herald
MAYAT ditemukan di dalam beg berkenaan. FOTO NZ Herald
AFP

Wellington: Mayat dua kanak-kanak ditemui dalam dua beg pakaian yang dibeli di lelongan di New Zealand, kata polis tempatan pada Khamis, berikrar untuk menjejaki mereka yang bertanggungjawab atas kematian itu.

Detektif Inspektor Tofilau Faamanuia Vaaelua berkata mayat itu berkemungkinan telah disimpan selama beberapa tahun dan mangsa dipercayai berusia antara lima hingga 10 tahun ketika meninggal dunia.

Kanak-kanak itu disembunyikan dalam dua beg pakaian yang sama saiz, katanya.

"Penemuan ini menimbulkan beberapa kerumitan kepada penyiasatan terutamanya tempoh antara masa kematian dan masa penemuan," kata Vaaelua.

Mayat berkenaan ditemui apabila sebuah keluarga membeli treler muatan barangan yang dilelong secara pukal dari unit simpanan di Auckland Selatan.

Polis mengulangi bahawa keluarga terbabit tidak mempunyai kaitan dengan pembunuhan itu, tetapi "difahamkan tertekan dengan penemuan itu" dan mereka telah meminta privasi, tambah Vaaelua.

Mereka menerima sokongan untuk membantu menangani trauma.

Polis menggunakan barangan rumah dan peribadi yang ditemui bersama beg pakaian dalam usaha mereka untuk mengenal pasti mangsa.

Mereka juga sedang memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berjam-jam, tetapi detik-detik penting mungkin sudah musnah kerana kelewatan tempoh antara waktu mangsa meninggal dunia dan penemuan mayat.

Namun, pakar yang menjalankan siasatan bedah siasat menghadapi kesukaran untuk mengenal pasti kanak-kanak itu, kata Vaaelua, berikutan tempoh masa yang terlibat.

Kedua-dua unit penyimpanan dan harta benda di mana beg pakaian dibawa telah diperiksa dengan teliti oleh pakar forensik.

Vaaelua juga berkata bahawa polis di New Zealand bekerjasama dengan agensi polis jenayah antarabangsa Interpol, di mana saudara-mara mangsa dipercayai berada di negara itu.

Kanak-kanak itu masih belum dikenal pasti dan Vaaelua berkata dia merasakan keluarga mereka mungkin tidak menyedari mereka sudah mati.

Penemuan ngeri itu telah menghantar gelombang kejutan ke seluruh kawasan kejiranan.

"Ini bukan siasatan mudah," kata Vaaelua.

"Tidak kira berapa lama atau berapa tahun anda berkhidmat dan menyiasat kes ngeri seperti ini, ia bukanlah satu tugas yang mudah."

"Apa yang boleh saya katakan ialah kami mencapai kemajuan yang sangat baik dengan siasatan DNA.

"Pasukan penyiasat bekerja keras untuk mengenal pasti pihak bertanggungjawab atas kematian kanak-kanak ini," katanya.

Seorang jiran keluarga yang membuat penemuan itu memberitahu The New Zealand Herald bahawa dia menjaga rumah mereka kerana mereka telah meninggalkan Auckland untuk melarikan diri daripada perhatian media.

Baru-baru ini, media melaporkan Polis New Zealand memulakan siasatan pembunuhan susulan penemuan mayat dalam beg pakaian yang dibeli dalam sesi lelongan di Auckland.

Mayat yang tidak didedahkan identiti itu dipercayai disimpan di dalam beg pakaian yang dijual dalam acara lelongan sebuah stor simpanan barangan.

Beg berkenaan kemudian berjaya dibida satu keluarga yang kemudian membawa barangan itu pulang, tanpa mengesyaki kandungan yang tersimpan di dalamnya.

Penduduk di Auckland Selatan menghubungi polis Khamis lalu selepas menemui mayat dalam keadaan mengerikan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2022 @ 4:04 PM