POLIS percaya pembeli tidak mempunyai kaitan dengan mayat berkenaan. FOTO NZ Herald
POLIS percaya pembeli tidak mempunyai kaitan dengan mayat berkenaan. FOTO NZ Herald
AFP

Wellington: Polis New Zealand memulakan siasatan pembunuhan susulan penemuan mayat dalam beg pakaian yang dibeli dalam sesi lelongan di Auckland.

Mayat yang tidak didedahkan identiti itu dipercayai disimpan di dalam beg pakaian yang dijual dalam acara lelongan sebuah stor simpanan barangan.

Beg berkenaan kemudian berjaya dibida satu keluarga yang kemudian membawa barangan itu pulang, tanpa mengesyaki kandungan yang tersimpan di dalamnya.

Penduduk di Auckland Selatan menghubungi polis Khamis lalu selepas menemui mayat dalam keadaan mengerikan, pegawai polis Tofilau Faamanuia Vaaelua.

Penemuan itu mengejutkan pembeli beg berkenaan yang kemudiannya menghubungi polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, polis percaya keluarga berkenaan tidak terbabit dalam pembunuhan itu.

"Keutamaan polis kini adalah untuk mengesahkan identiti si mati.

"Maklumat lanjut yang diperoleh akan dikumpul bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan," katanya.

Beliau berkata, keputusan bedah siasat masih belum diperoleh.

Lelongan barangan yang tidak dituntut itu adalah amalan biasa.

Pemilik pusat lelongan di Papatoetoe, Auckland Selatan itu, memaklumkan kepada portal berita Stuff, pihaknya akan bekerjasama dengan polis dalam siasatan kes itu.

Portal Newhub melaporkan beberapa bahagian tubuh ditemukan dalam beg berkenaan.

Vaaelua berkata, polis percaya 'tiada risiko segera' kepada orang ramai susulan penemuan mayat itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Ogos 2022 @ 12:02 PM