WANITA New Zealand tampil memakai tudung sebagai tanda solidariti kepada masyarakat Islam.
WANITA New Zealand tampil memakai tudung sebagai tanda solidariti kepada masyarakat Islam.
Reuters

CHRISTCHURCH: Wanita New Zealand tampil memakai tudung sebagai tanda solidariti kepada masyarakat Islam di negara ini susulan tragedi tembakan rambang di dua masjid minggu lalu. 

Doktor, Thaya Ashman dari Auckland berkata, idea menggalak orang ramai memakai tudung datang selepas mendengar kisah seorang wanita Islam takut keluar rumah kerana kuathir menjadi sasaran pengganas. 

“Saya ingin memberitahu kami bersama anda. Kami mahu anda berasa selamat ketika berada di luar, kami cinta, menyokong dan menghormati anda,” katanya. 

Wanita di Christchurch, Auckland serta Wellington turut berkongsi gambar mereka memakai tudung di media sosial, malah kanak-kanak dilihat memberi sokongan terhadap pergerakan itu. 

Minggu lalu, Perdana Menteri Jacinda Ardern mendapat pujian ramai apabila tampil bertudung hitam ketika bertemu dengan penduduk Islam selepas kejadian tembakan. 

Selain itu, seorang polis wanita yang bertugas untuk mengawal keselamatan di tanah perkuburan Christchurch, Khamis lalu turut mengenakan tudung. 

Sementara itu, Rachel MacGregor yang terbabit dalam kempen Head Scarf for Harmony memberitahu gementar memakai tudung di tempat awam dan mendapati orang sekeliling memandangnya sewaktu ke pejabat. 

“Pengalaman ini membolehkan saya merasai perasaan sebagai seorang minoriti dan memakai pakaian yang bukan pilihan majoriti penduduk,” katanya. 

Bagaimanapun, kempen itu turut mendapat tentangan segelintir pihak di New Zealand dan negara lain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2019 @ 1:01 PM