GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Agensi

Bandung: Seorang budak lelaki di Tasikmalaya di wilayah Jawa Barat yang dipaksa 'menyetubuhi' kucing oleh rakannya meninggal dunia kerana tertekan dan malu.

Mangsa berusia 11 tahun itu meninggal dunia ketika menerima rawatan di sebuah hospital dalam keadaan lemah akibat tidak makan dan minum selama beberapa hari.

Lebih memalukan, rakan mangsa turut merakam perbuatan itu sebelum menularkannya.

Mangsa dilaporkan turut menjadi mangsa buli rakannya setiap kali bermain.

Ibunya memaklumkan bahawa mangsa menjadi trauma dan malu selepas mengetahui video tidak senonoh itu ditonton masyarakat.

"Sebelum dipaksa 'menyetubuhi' kucing, anak saya mengakui sering dipukul rakannya.

"Selepas kejadian, keluarga pembuli terbabit datang ke rumah untuk memohon maaf," katanya.

Keluarga mangsa yang kecewa dengan kejadian itu bagaimanapun sudah memaafkan suspek dan berharap kejadian sama tidak berulang.

Sementara itu, Ketua Bahagian Perlindungan Kanak-Kanak, Ato Rinanto berkata, tindakan undang-undang akan diambil terhadap suspek yang menjadi punca kematian mangsa.

Beliau berkata, pihaknya bekerjasama dengan polis Tasikmalaya dan sudah bertemu dengan keluarga mangsa untuk memberikan khidmat kaunseling.

Katanya, tindakan undang-undang kini dalam proses untuk diambil kepada suspek supaya kejadian sama tidak lagi berlaku dalam kalangan kanak-kanak.

"Perbuatan ini tidak senonoh dan lebih teruk lagi video berkenaan disebarkan dan menjadi bahan perbincangan masyarakat setempat.

"Keterangan keluarga mangsa juga sudah diambil dan mereka turut mengesahkan mangsa mengalami tekanan perasaan akibat kejadian berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2022 @ 7:01 AM