Foto hiasan
Foto hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi

Ampang Jaya: Sepatutnya menjadi pelindung namun lain jadinya apabila seorang lelaki tergamak melakukan amang seksual terhadap anak tirinya sejak tahun lalu.

Perbuatannya itu terbongkar selepas ibu saudara mangsa ketika berada di rumah keluarga terbabit di sini, terlihat mesej WhatsApp antara kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun itu dengan bapa tirinya yang berusia 41 tahun.

Wanita itu mendapati terdapat unsur lucah dalam mesej itu serta gambar tidak senonoh lelaki terbabit.

Terkejut dengan kejadian itu, wanita terbabit tampil membuat laporan di Balai Polis Ampang Jaya semalam untuk diambil tindakan selanjutnya.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, siasatan mendapati suspek melakukan amang seksual termasuk menghantar mesej lucah kepada mangsa.

"Kejadian bermula awal tahun lalu dan terakhir berlaku pada bulan ini.

"Suspek yang tidak bekerja itu juga mempunyai rekod jenayah dadah," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Siti Kamsiah berkata, sebaik menerima laporan itu, suspek dikesan sebelum ditahan semalam bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Amang Seksual Fizikal dan Seksyen 15 Amang Seksual Bukan Fizikal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Julai 2021 @ 8:57 PM