PEKERJA kesihatan mengambil sampel daripada individu ketika ujian saringan Covid-19 di Tianjin. FOTO EPA
PEKERJA kesihatan mengambil sampel daripada individu ketika ujian saringan Covid-19 di Tianjin. FOTO EPA
AFP

Shanghai: Pihak berkuasa bandar Tianjin yang terletak di utara China, pada Ahad, menasihatkan hampir 14 juta penduduknya untuk tinggal di rumah, sementara ujian Covid-19 secara besar-besaran, dijalankan.

Media tempatan melaporkan, tindakan itu berikutan adanya beberapa kes baru-baru ini, termasuk dua yang disebabkan oleh varian Omicron.

Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan melaporkan, Tianjin muncul sebagai kawasan baharu yang membimbangkan selepas lebih 20 kes Covid-19 dilaporkan di sana, sejak beberapa hari kebelakangan ini, kebanyakannya kes import.

Jumlah itu termasuk sekurang-kurangnya dua kes varian Omicron dan 15 jangkitan dalam kalangan pelajar sekolah rendah serta menengah, menurut laporan media kerajaan.

Bandar berhampiran ibu negara Beijing melancarkan ujian saringan besar-besaran, awal Ahad dan menasihatkan penduduk untuk tinggal di rumah.

Bagaimanapun, tiada perintah penutupan yang lebih besar dikuatkuasakan setakat ini.

Penduduk Tianjin diberitahu bahawa mereka tidak akan menerima kod hijau pada aplikasi pengesanan Covid-19 telefon pintar sehingga menerima keputusan negatif .

Kod itu kini perlu ditunjukkan oleh hampir semua warga China apabila menggunakan pengangkutan awam dan dalam situasi lain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 January 2022 @ 10:59 AM