UJIAN saringan Covid-19 di daerah Huangpu, Shanghai. FOTO AFP
UJIAN saringan Covid-19 di daerah Huangpu, Shanghai. FOTO AFP
Agensi

Shanghai: Jutaan penduduk Shanghai berdepan cabaran berganda apabila kes Covid-19 meningkat di tengah-tengah gelombang cuaca panas sedang melanda China.

Memetik portal CNN, pihak berkuasa Shanghai mengarahkan majoriti 16 daerah di bandar itu menjalani dua pusingan ujian mulai Selasa hingga Khamis, selepas kes subvarian BA.5.2.1 baharu dikesan dalam komuniti pada 8 Julai lalu.

Pihak berkuasa turut menaikkan amaran merah tahap tertinggi pada Ahad, apabila suhu mencecah 40 darjah Celsius.

Di tengah-tengah panas terik mentari, jutaan penduduk Shanghai terpaksa melalui detik mencabar apabila perlu beratur berjam-jam lamanya bagi menjalani ujian Covid-19.

Ia mencetuskan kebimbangan ramai sekiranya sekatan pergerakan secara besar-besaran akan dilaksanakan kembali.

Pegawai Shanghai berulang kali menafikan penutupan di seluruh bandar akan berlaku, namun gagal meyakinkan penduduk.

Isnin lalu, dua jawatankuasa kejiranan di Shanghai memaklumkan, penduduk perlu membuat persiapan dengan menyediakan makanan dan ubat-ubatan mencukupi untuk tempoh 14 hari.

Notis itu selepas diedarkan secara meluas dalam talian menyebabkan panik dalam kalangan penduduk.

Kebanyakan penduduk terkesan akibat kuarantin berpanjangan pada April dan Mei lalu hingga menyebabkan kekurangan makanan dan menyekat akses kepada rawatan perubatan.

Seorang kakitangan jawatankuasa kejiranan memberitahu Health Times, cadangan itu bertujuan untuk menyediakan penduduk menghadapi wabak yang semakin meningkat.

Varian BA.5 sangat mudah merebak dengan pantas ke seluruh dunia dan dilihat pihak berkuasa di China sebagai ancaman besar.

Subvarian Omicron baharu dilaporkan menular di beberapa bandar di China termasuk ibu kota, Beijing, bandar pelabuhan timur laut, Dalian, dan bandar tengah, Xi'an yang ditutup selama tujuh hari.

Setakat Selasa lalu, sebanyak 240 kawasan kejiranan di seluruh Shanghai diisytiharkan sebagai kawasan berisiko sederhana atau tinggi dan diletakkan di bawah sekatan pergerakan.

Sepanjang 10 hari lalu, bandar itu merekodkan lebih 400 kes Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Julai 2022 @ 7:01 AM