Letupan gas di kediaman mengakibatkan tiga terbunuh. - FOTO Agensi
Letupan gas di kediaman mengakibatkan tiga terbunuh. - FOTO Agensi
AFP

Nur-Sultan, Kazakhstan: Sebuah silinder gas dilaporkan meletup di bangunan kediaman di utara Kazakhstan mengakibatkan tiga orang terbunuh dan 10 lagi memerlukan rawatan hospital.

Menurut kenyataan Perkhidmatan Kecemasan negara Asia Barat itu hari ini, tiga mayat terbabit ditemui di lokasi kejadian.

Bangunan flat tiga tingkat itu terletak di Kampung Shortandi, berhampiran ibu negara, Nur-Sultan.

Kata Perkhidmatan Kecemasan itu lagi, kebakaran itu hanya dapat dipadamkan selepas dua jam.

"Kami menerima panggilan kecemasan lewat semalam," katanya.

Letupan gas dan kebakaran rumah adalah perkara biasa di Kazakhstan, selain pengkritik menuduh kerajaan di negara bekas Soviet yang kaya dengan minyak itu gagal menyediakan infrastruktur berkualiti, terutama di kawasan wilayahnya.

Kebakaran rumah pada 2019 yang mengorbankan lima gadis muda di pinggir Nur-Sultan mencetuskan gelombang protes yang jarang berlaku yang dipelopori oleh ibu berpendapatan rendah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 November 2021 @ 7:12 PM