PENYOKONG Nursultan meraikan kemenangannya di Astana, semalam.
PENYOKONG Nursultan meraikan kemenangannya di Astana, semalam.
Laporan Munirah Yusuff dari Astana

Presiden Kazakhstan Nursultan Nazarbayev melanjutkan pemerintahannya selama lima tahun lagi apabila memenangi pilihan raya kelmarin dengan meraih 97.7 peratus undi.

Nursultan yang mengetuai negara Asia Tengah itu sejak sebelum perpecahan Soviet Union pada 1991 akan memulakan penggal kelima perkhidmatannya.

Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat berkata, seramai 95.22 peratus rakyat Kazakhstan mengundi kelmarin.

Bercakap di Astana sejurus selepas keputusan tidak rasmi itu diumumkan, Nursultan berkata, kemenangan itu memberikannya mandat untuk meneruskan rancangannya menjadikan Kazakhstan satu daripada 30 negara paling maju di dunia.

“Tanpa kepercayaan seperti ini memang sukar untuk melaksanakan rancangan itu.

“Peratusan tinggi yang keluar mengundi menggambarkan perpaduan rakyat Kazakahstan, impian mereka untuk tinggal di sebuah negara yang stabil dan menyokong program yang saya sudah rancang untuk mereka,” katanya.

Dua calon lain yang bertanding dalam pilihan raya berkenaan dilihat sebagai prokerajaan dan hanya memperoleh undi kurang tiga peratus.

Kemenangan Nursultan disambut di seluruh negara dengan tembakan bunga api.

Beliau menang pilihan raya 2011 dengan 95.5 peratus undi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2015 @ 9:15 AM