GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Agensi

Sana'a: Aktivis hak asasi manusia Yaman, Samira Abdullah Al Houri mendedahkan penderitaannya ketika dipenjara oleh rejim Houthi di samping peningkatan kes rogol dan perkahwinan paksa di negara itu.

Gulf News melaporkan, Samira mendakwa militia yang disokong Iran itu melakukan perkahwinan paksa apabila wanita Yaman yang suaminya belajar atau bekerja di luar negara dipaksa berkahwin dengan lelaki Houthi.

Ia bertujuan meningkatkan kelahiran tanpa keturunan, membesarkan bayi itu di rumah anak yatim dan menerapkan doktrin radikal kepada kanak-kanak ini.

"Dengan cara ini kumpulan Houthi 'merekrut' kanak-kanak sebelum mereka dilahirkan lagi, strategi untuk mewujudkan pejuang yang lebih jahat dan terkenal," kata Samira.

Pasukan Houthi di Yaman merekrut 10,300 kanak-kanak di Yaman secara paksa sejak 2014, menurut laporan terbaharu yang mendedahkan kumpulan itu menggunakan sekolah dan kemudahan pendidikan lain untuk merekrut individu di bawah umur.

Pemantau Hak Asasi Manusia Euro-Mediterranean, dan Hak serta Kebebasan SAM mengatakan dalam sebuah laporan yang dikeluarkan pada Februari lalu, Houthi menggunakan kaedah kompleks untuk merekrut kanak-kanak secara paksa dan menempatkan mereka di kawasan bergolak dikuasainya di Yaman.

Samira mendakwa dia diculik dan dibawa ke lokasi yang tidak diketahui, tanpa siasatan, pendakwaan atau perbicaraan di mahkamah.

"Saya dijatuhi hukuman mati atas tuduhan berkomunikasi dengan pimpinan tentera gabungan (Arab yang dipimpin Arab Saudi)," katanya.

Katanya, dia ditahan lebih tiga bulan di penjara rahsia di Jalan Taiz atau dikenali Al Thaghata.

"Saya diseksa, diancam hukuman mati dan dipaksa untuk merakam video pengakuan saya sebagai perisik bagi tentera gabungan Arab dan memberikan koordinat kepada mereka.

"Saya dipaksa menandatangani afidavit untuk menerima pesanan atau tugas yang mereka berikan kepada saya, sama ada ia tidak bermoral, berunsur politik atau ketenteraan," katanya.

Samira mengatakan pemimpin Houthi yang terkenal, Sultan Zaben, yang dimasukkan dalam senarai sekatan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana menyeksa wanita, mengawasi setiap seksaan ke atasnya ketika ditahan.

Laporan itu mengatakan dalam tempoh tiga tahun terakhir, Houthi menjalankan kempen terbuka dan merekrut dengan membuka 52 kem latihan untuk ribuan remaja dan kanak-kanak di Saada, Sana'a, Al Mahwit, Hodeidah, Tihama, Hajjah dan Dhamar serta menyasarkan kanak-kanak berumur 10 tahun ke atas, menurut laporan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 April 2021 @ 6:00 AM