Tembok Besar China. FOTO AGENSI
Tembok Besar China. FOTO AGENSI
AFP

Beijing: Tiga pelancong ditahan dan didenda kerajaan China selepas membuat laku musnah di mercu tanda bersejarah, Tembok Besar China.

Dua lelaki dan seorang wanita ditahan semalam selepas mengukir nama mereka pada dinding tembok berkenaan menggunakan kunci, wayar dan beberapa objek tajam, kata pihak pentadbiran zon khas pelancongan Badaling dalam kenyataan.

Kira-kira 70 kilometer dari Beijing, Badaling adalah bahagian paling popular bagi tembok berkenaan dalam kalangan pelancong.

Bagaimanapun, ia tidak menyatakan maklumat terperinci berkaitan jumlah denda atau tempoh mereka ditahan.

Di bawah undang-undang China untuk melindungi peninggalan budaya, denda untuk mengukir atau mencakar bangunan bersejarah adalah kurang dari 200 yuan, tetapi untuk kerosakan serius, pesalah boleh ditahan sehingga 10 hari dan didenda 500 yuan.

Pembinaan Tembok Besar bermula pada abad ketiga untuk mencegah pencerobohan Mongol, dan ia meliputi kawasan sejauh lebih 21,000 kilometer.

Hari ini ia menarik sekitar 10 juta pelancong setiap tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mac 2021 @ 7:06 PM