Song Kang teraju utama siri Sweet Home
Song Kang teraju utama siri Sweet Home
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Pelakon Korea Selatan, Song Kang, sudah bersedia menjalani khidmat ketenteraan yang diwajibkan di negaranya dalam masa terdekat.

Kang, 29, berkata khidmat itu adalah sumbangan wajibnya kepada negara tercinta dan pastinya akan kembali semula rancakkan karier seni selepas tamat bertugas.

"Kenyataannya ia memang tanggungjawab saya. Maka, saya akan memenuhi tugas saya berkhidmat dalam ketenteraan dan kembali semula, sihat dan baik-baik," katanya pada sidang media siri Netflix, Sweet Home musim kedua (Sweet Home 2), di Seoul, Korea Selatan, hari ini.

Kang juga memaklumkan siri terbabit menjadi projek yang terakhirnya sebelum menyertai tentera.

Namun, menurutnya dia tidaklah beremosi sangat memikirkan hal itu.

"Tidak memberi kesan sangat kepada saya hanya kerana ia drama terakhir sebelum memasuki tentera. Ia lebih kepada bagaimana Sweet Home menjadikan siapa diri saya sekarang.

"Ia ada satu tempat yang sangat istimewa dalam hati saya. Apabila menulis diari, saya akan coret mengenai Hyun-soo. Disebabkan genrenya fantasi dan pasal raksasa, ia tidak terikat, sedikit berbeza kehidupan sebenar kita," katanya.

Nama Kang sudah menjadi sebutan antara selebriti yang bakal tersenarai memasuki khidmat ketenteraan.

Bagaimanapun, dia tidak pernah memperincikan mengenai butiran mengenainya.

Bukan hal asing lagi apabila selebriti lelaki Korea Selatan lingkungan 18 hingga 35 tahun wajib memenuhi tuntutan itu.

Mereka perlu jalani khidmat terbabit dalam tempoh 18 hingga 21 bulan.

Sementara itu, Sweet Home 2 bakal memulakan tayangannya esok.

Drama arahan Lee Eung-bokĀ itu turut dibintangi Lee Jin-uk, Lee Si-young, Ko Min-si, Jinyoung, Yoo Oh-seong, dan Kim Moo-yeol.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2023 @ 12:50 PM