KANG berjaya memberikan aksi terbaik walaupun sudah lama tidak turun ke lapangan. FOTO AFP
KANG berjaya memberikan aksi terbaik walaupun sudah lama tidak turun ke lapangan. FOTO AFP
AFP

DANIELLE Kang berjaya memberikan aksi sempurna untuk mendahului saingan Drive On Championship selepas Jelajah LPGA bersambung apabila lima bulan terhenti berikutan Covid-19.

Kang mencatat enam di bawah par 66 di Inverness Club at Toledo, Ohio untuk mendahului satu pukulan mengatasi Jodi Ewart Shadoff dari England, yang berjaya mengelak daripada melakukan sebarang bogey bagi meraih lima di bawah par 67.

Kang yang berusia 27 tahun tidak menunjukkan sebarang masalah walaupun sudah lama saingan tertangguh, apabila membenam tiga birdie dan enam kali menyamai par.

"Tanpa bogey, enam di bawah par, saya rasa ia sudah cukup bagus. Tidak ada pukulan luar biasa, ia lebih kepada konsisten. Saya dan kedi sudah lama tidak bekerjasama dalam tempoh enam bulan, jadi ia sangat menyeronokkan dapat kembali beraksi," kata Kang.

Saingan 54 lubang minggu ini diadakan tanpa penonton, suasana yang Kang rasakan dia masih lagi sedang menyesuaikan diri.

"Saya merasakan ia lebih tenang, lebih baik. Mungkin ia sangat bagus buat saya. Bagaimanapun, saya juga suka jika ada penonton. Saya suka jika ada sorakan," kata Kang.

Pemain kelahiran Perancis, Celine Boutier berkongsi kedudukan tempat ketiga bersama Lee Anne Pace selepas kedua-duanya melakukan empat di bawah par 68.

Tiga pemain, Lydia Ko, Lee Minjee dan Amy Olson berkongsi kedudukan kelima dengan tiga di bawah par.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Ogos 2020 @ 12:29 PM